KUALA TERENGGANU 16 Julai – Seorang lagi `bookie’ dicekup Sabtu lalu menjadikan setakat ini enam individu ditahan kerana disyakki terbabit dalam kegiatan pertaruhan bola sepak Piala Dunia
sejak kejohanan itu berlangsung pada 14 Jun lalu dan berakhir malam tadi.
Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, lima lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 36 tahun itu ditahan dalam Ops Soga dengan tangkapan terbaharu melibatkan seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah kira-kira pukul 11 malam di bandar raya ini Sabtu lalu.
Beliau memberitahu, empat daripada suspek terbabit ditangkap oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terenggganu manakala dua lagi suspek oleh anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM3,275 selain enam buah telefon bimbit pebagai jenama manakala kegiatan tersebut membabitkan had pertaruhan antara RM1,500
hingga RM5,000.
“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjalankan perjudian pengutip pertaruhan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 di IPK Terengganu di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Idris Abdullah; Ketua Cawangan Khas negeri, Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Harun; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Komuniti negeri, ACP Redzuan Abd. Hamid dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abdul Rafar.
Dalam majlis itu, seramai 292 anggota termasuk pegawai pelbagai pangkat dari IPK dan IPD seluruh Terengganu menerima anugerah masing-masing.
Aidi seterusnya berkata, dalam tangkapan terbaharu semalam, wanita terbabit berasal dari Johor Bahru dan suspek bertindak sebagai ejen dengan menjalankan aktiviti pertaruhan secara dalam
talian selain menerusi laman web.
“Daripada suspek, polis turut merampas wang tunai RM25 serta sebuah telefon bimbit berjenama iphone 7 plus,” katanya.-UTUSAN ONLINE










