PUTRAJAYA – Pakatan Harapan akan menampilkan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju untuk meletakkan calon PKR bagi menghadapi PRK tersebut.
“Kita akan buat persiapan bagi menghadapi PRK Sungai Kandis. Bagaimanapun, buat masa ini kita (PH) belum menyenarai pendek calon berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya dari PKR, Mat Shuhaimi Shafiee, 50, akibat kanser limfoma Isnin lalu.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Saari sebelum ini dilapor akan mencadangkan beberapa nama kepada pucuk pimpinan PKR untuk dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Sungai Kandis. – K! ONLINE










