ALOR SETAR 25 Julai – Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) akan melakukan rombakan beberapa portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) agar selari dengan kementerian di peringkat Pusat untuk memastikan kelancaran pentadbirannya.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rombakan tersebut dilakukan setelah semua lantikan menteri dan timbalan menteri di kementerian selesai baru-baru ini.
“Pentadbiran baharu ini ada kementerian yang digabungkan, jadi lebih baik portfolio Exco diselaraskan dengan kementerian namun ia perlu mendapat perkenan daripada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurutnya, rombakan itu berlaku berikutan pelantikan Datuk Ir. Amiruddin Hamzah sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan tidak melibatkan semua Exco yang akan diumumkan dalam tempoh seminggu lagi.
“Perubahan portfolio termasuk penambahan satu Exco yang bakal dilantik Ogos nanti. Nama Exco baharu yang bakal menggantikan tempat Amiruddin akan dimaklumkan kemudian, jadi kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE










