BARU-BARU ini saya sekali lagi terlibat dalam program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) khusus untuk warga media di Johor Bahru. Lebih dikenali sebagai OSH for Media, program ini adalah inisiatif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) khusus untuk mempertingkatkan kesedaran KKP dalam kalangan pengamal media.
Antara lain, seminar ini memberi panduan tentang aspek keselamatan dan kesihatan kepada para peserta di dalam mengenal pasti dan mengurangkan risiko ketika bekerja terutamanya di lokasi berisiko tinggi.
Buat pertama kalinya warga media turut berpeluang melihat demonstrasi menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam ruang terkurung selain mencuba peralatan perlindungan peribadi (PPE) khas yang digunakan.
Ini dirasakan amat sesuai ekoran insiden terbaru di negara jiran kita yang mana pasukan penyelamat dari pelbagai negara menjayakan operasi menyelamat 13 pelajar dan jurulatih bola sepak yang terperangkap di dalam sebuah gua yang dinaiki air, di wilayah Chiang Rai, utara Thailand. Kejadian sama atau lebih buruk mungkin boleh berlaku di negara ini dan warga media sudah pasti harus lebih bersedia untuk menghadapinya.
Berdasarkan maklum balas yang diperoleh NIOSH, amalan KKP yang baik dalam kalangan warga media masih berada di tahap minimum dan banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai aspek KKP. Lebih mendukacitakan apabila pihak majikan tidak mementingkan KKP dan tidak bersungguh-sungguh menjadikan ia sebagai amalan di organisasi media masing-masing.
Amat malang apabila ada di antara pihak pengurusan atasan yang menyatakan dengan perasaan bangga bahawa “wartawan dan jurukamera kami masih sihat dan selamat” walaupun mereka tidak mengikuti sebarang program KKP berkaitan.
Secara jujurnya, bukan mudah untuk mendapatkan penyertaan daripada warga media walaupun kursus diadakan secara percuma. Mungkin kesibukan kerja menyebabkan ramai petugas media tidak berkesempatan menyertai program berkenaan.
Namun kita tidak seharusnya lupa akan insiden tragis yang meragut nyawa jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor semasa bertugas membuat liputan di Somalia pada 2011.
Kita juga pasti masih ingat kes pembunuhan warga Korea Utara menggunakan racun VX pada Februari tahun lepas (2017) yang mana ramai petugas media tidak menyedari risiko kesihatan yang mereka hadapi.
Saya berpendapat setiap petugas media di Malaysia perlu dididik tentang cara untuk menyesuaikan diri dengan semua situasi serta kaedah terbaik bagi mereka menguruskan risiko semasa membuat tugasan.
Di dalam kebanyakan kes, wartawan dan jurugambar mungkin tidak sedar akan bahaya yang bakal mereka hadapi ketika bertugas di tempat kejadian seperti kebakaran, banjir, letupan kimia, tanah runtuh dan sebagainya.
Kebocoran gas beracun, penularan penyakit berbahaya seperti Nipah virus dan Japanese Encephalitis serta serangan pengganas seperti di Lahad Datu dan insiden Al-Maunah suatu ketika dahulu seharusnya membuka mata kita semua tentang keperluan untuk meningkatkan tahap KKP di setiap peringkat termasuk dalam kalangan petugas media.
Ekoran insiden yang meragut nyawa Noramfaizul, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan Garis Panduan untuk Profesional Media berkaitan amalan kerja yang selamat.
Garis panduan yang bertindak sebagai Prosedur Kerja Selamat ini membolehkan kakitangan media dilengkapi maklumat apabila menjalankan liputan media di dalam zon berbahaya dan persekitaran yang boleh mendatangkan risiko kemalangan.
Organisasi media sebagai majikan harus menggalakkan warga kerja mereka mengikuti garis panduan itu yang boleh dimuat turun daripada laman sesawang JKKP.
Organisasi media perlu diingatkan bahawa mereka turut tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA)1994 yang menyatakan adalah tanggungjawab majikan untuk menyediakan latihan cara kerja selamat kepada semua pekerja mereka.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan media untuk melindungi kakitangan mereka. Perkara yang perlu diberi penekanan adalah persediaan yang cukup oleh wartawan dan media sebelum melakukan tugasan.
Pendidikan dan latihan KKP sangat penting dan organisasi media harus melihat latihan sebagai pelaburan dan bukan perbelanjaan dan bebanan.
Kod Antarabangsa Amalan Perlakuan Selamat bagi bidang kewartawanan menyatakan bahawa profesional media mesti dimaklumkan mengenai keadaan politik, fizikal dan sosial di kawasan mereka bekerja. Mereka juga perlu dilengkapi dengan alat-alat pertolongan cemas, alat komunikasi, kemudahan pengangkutan yang mencukupi serta pakaian perlindungan jika perlu ketika keluar melakukan tugasan.
Pada masa ini NIOSH sedang mendapatkan maklum balas daripada pelbagai organisasi media dan kesatuan wartawan untuk merangka modul latihan induksi bersesuaian yang dikenali sebagai ‘Pasport Keselamatan’.
Di antara latihan yang boleh diadakan adalah seperti asas pertolongan cemas, penilaian risiko, teknik kemahiran hidup, pakaian perlindungan diri serta informasi mengenai kawasan di mana mereka akan bertugas.
Kemajuan di dalam teknologi komunikasi pada masa ini telah meningkatkan permintaan bagi mendapatkan maklumat terkini dan organisasi media sering bersaing di antara satu sama lain untuk menghantar berita-berita terkini. Bagaimanapun petugas media perlu ingat objektif mereka adalah untuk melaporkan apa yang berlaku dan bukan untuk menjadi bahan berita.
Seorang wartawan yang meletakkan dirinya di dalam keadaan yang berisiko dan menjadi mangsa sudah pasti tidak akan dapat melaporkan berita atau menunjukkan gambar yang perlu dilihat oleh masyarakat.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).










