MADINAH 18 Julai – Hari ini adalah hari terakhir bagi 20 petugas media membuat liputan mengenai operasi dan ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah.
Pada pukul 9 pagi ini, mereka bergerak memasuki Mekah untuk liputan fasa kedua haji di kota suci itu.
Kumpulan tersebut yang tiba di Madinah pada 7 Julai lalu berada di sini selama 12 hari dan selain membuat liputan turut melakukan ziarah dalam dan ziarah luar Madinah.
Sebaik sahaja memasuki Mekah mereka akan menunaikan umrah.
Turut bersama mereka ialah 15 orang petugas perubatan bagi membuat persediaan ketibaan jemaah haji ke Mekah.
Sehingga pukul 5.30 pagi ini, seramai 5,000 jemaah haji Malaysia sudah berada di Madinah.
Mereka akan berada di sini antara enam hingga lapan hari dan memasuki Madinah secara berperingkat bermula 22 Julai ini.
Kumpulan pertama jemaah yang terus memasuki Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pula adalah pada 28 Julai ini.
Sebanyak 81 penerbangan sewa khas digunakan bagi operasi haji tahun ini melibatkan 40 penerbangan Malaysia Airlines Berhad dan 41 penerbangan Flynas.
Hari wukuf bagi musim haji tahun ini adalah pada 20 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE










