SHAH ALAM 26 Julai – Orang ramai khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berpeluang menikmati pelbagai jenis durian istimewa termasuk Raja Durian dan Musang King sempena Fiesta Promosi Buah-buahan Tempatan di Kampung Sungai Kandis di sini dari 2 hingga 5 Ogos ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata, pesta durian tersebut adalah sebahagian daripada Karnival Selangor anjuran kerajaan negeri.
“Dalam program tersebut, kita akan mempromosi durian baharu iaitu Kampung Special dan Putu King dari Pahang.
“Jika Musang King boleh mencecah RM30 sekilogram, harga Putu King pula separuh iaitu RM15 sekilogram,” katanya ketika ditemui di gerai FAMA sempena Fiesta Promosi Buah-buaham Tempatan di Plaza Shah Alam di sini.
Yang hadir sama ialah Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, Azura Mokhtar.
Abdul Ghariff menambah, selain Putu King. pihaknya turut memasarkan durian Tekka, D2, D24, D13, 101 selain buah-buahan tempatan seperti manggis, rambutan, cempedak, pulasan dan nanas.
Mengulas mengenai pemasaran durian di pusat beli-belah yang giat dijalankan oleh FAMA sekarang, beliau memberitahu, pemilik bangunan kini semakin terbuka dan tiada lagi isu bau kuat di kawasan sekitar yang mungkin mengganggu pengunjung.
“Setakat ini kita mendapat kerjasama baik daripada Plaza Shah Alam dan SACC Mall bagi memasarkan durian, namun lokasi jualan mesti dibuat di luar kawasan yang sesuai dan tidak di dalam bangunan.
“Kita berharap dengan pemasaran durian yang meluas hingga ke pusat beli-belah, bangunan kerajaan dan mahkamah, kita mampu menjual sehingga 400 metrik tan durian bernilai RM4 juta pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










