PORT DICKSON – Seorang peserta Port Dickson International Triathlon (PDIT) lemas manakala seorang lagi hilang ketika menyertai acara tahunan itu di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, dalam kejadian pada pukul 8 pagi, Tharm Wei Wong, 39, dari Pulau Pinang mati lemas semasa berenang di pantai Port Dickson manakala seorang lagi peserta warga Hong Kong, Yuen Chi Yuen, 42, hilang.
“Wei Wong berenang dari garis permulaan menuju ke pantai untuk meneruskan acara yang seterusnya iaitu acara berbasikal. Jarak antara permulaan acara renang ke pantai kira-kira 750 meter.
“Semasa berenang, Wei Wong lemas dan anggota bomba memberi bantuan kecemasan dan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut namun mangsa tidak memberi tindak balas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.










