Pesanan ‘berhati-hati’ bertukar tragedi - Utusan Malaysia

Pesanan ‘berhati-hati’ bertukar tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH 17 Julai – Pesanan terakhir seorang kakak kepada adik supaya berhati-hati de­ngan lori menjadi kenyataan apabila maut bersama dua anak saudaranya dalam kemalangan di Kilometer 451.5, Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berdekatan Rawang di sini semalam.

AIDA SURAINI
AIDA SURAINI

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, mangsa, Siti Nur Aisah Aman, 21, bersama Iffa Qistina Aida Abdullah, 14, dan Mohammad Norridwan Abdullah, 10, yang menaiki motosikal merempuh sebuah lori rosak di lorong kecemasan lebuh raya tersebut.

Kakak mangsa, Aida Suraini Iskandar Abdullah, 34, berkata, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang dari Kampung Gajah, Perak ke rumah mereka di Taman Botanic, Klang dekat sini.

Menurutnya, dia sudah se­minggu tidak bertemu adik bongsu dari tujuh beradik itu dan anak saudara yang tinggal bersamanya selepas mereka pergi Perak bertemu dengan adik ketiganya iaitu ibu kepada Iffa Qistina Aida dan Mohammad Norridwan.

Tambahnya, dia menyuruh ketiga-tiga mereka pulang ke Klang kerana bimbang dua anak saudaranya itu tidak bersekolah selama beberapa hari.

“Adik saya be­ritahu akan bawa pulang Iffa Qistina dan Mohammad Norridwan. Kira-kira pukul 5.30 petang semalam, mereka sempat buat panggilan video dengan saya.

“Pada masa itu saya lihat muka Iffa Qistina nampak lain dengan matanya bengkak. Saya cuba menghubungi mereka tetapi gagal kerana sehingga malam mereka belum tiba lagi di rumah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Jelas Aida Suraini, dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 9 pagi apabila seorang lagi adiknya memberitahu polis datang ke rumah memaklumkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, ketiga-tiga mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave tercampak ke lebuh raya selepas melanggar bahagian belakang kenderaan itu.

“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Bagaimanapun, pemandu lori berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN