PERTIMBANGAN ANTARA SST - GST - Utusan Malaysia

PERTIMBANGAN ANTARA SST – GST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejurus tamatnya perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2018 antara Perancis dan Croatia, ahli Dewan Rakyat yang dipilih semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu mula bersidang. Selepas sebulan rakyat membicarakan tentang Piala Dunia FIFA 2018, isu yang paling hangat dibincangkan dalam kalangan rakyat dan pemimpin, kini tidak lain tidak bukan isu sistem percukaian Malaysia.

Secara khususnya mengenai penukaran sistem percukaian ba- rangan dan perkhidmatan (GST) kepada sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST).

Pada masa ini, GST berkadar sifar bermula pada 1 Jun yang lalu. Kadar GST sebanyak enam peratus hanya sempat bertahan selama tiga tahun dua bulan sejak GST diperkenalkan pada tahun 2015.

Selepas sistem GST dilaksanakan, rata-rata rakyat mula membicarakannya. Secara umumnya, tiada siapa pun mahu cukai dikenakan kepadanya.

Kalau boleh menjalani kehidupan seharian tanpa cukai. Namun, perlu diketahui antara perkara yang kita tidak boleh elak dalam kehidupan seharian kita ialah perlunya membayar cukai.

Cukai dibayar kepada kerajaan untuk kegunaan masyarakat dan negara secara keseluruhannya. GST telah dikatakan oleh pakar-pakar percukaian sebagai satu sistem percukaian yang cukup telus.

Perkara ini bukan setakat diakui oleh kebanyakan pihak malah tidak dinafikan oleh pemimpin-pemimpin politik.

Telus bermaksud pihak kerajaan melalui penguat kuasa mudah mengetahui cukai yang perlu dibayar peniaga kepadanya. Telus juga bermaksud pihak yang dikenakan cukai mengetahui jumlah sebenar yang dikenakan kepada mereka.

Hal ini jelas kelihatan melalui resit yang dikeluarkan peniaga. Dalam sistem GST, peniaga perlu mengeluarkan resit yang dinyatakan jelas akan cukai GST terhadap pembeli atau pengguna.

GST juga lebih meluas berbanding sistem SST. Hal ini berlaku kerana lebih banyak produk dikenakan GST berbanding SST. Sebab itulah jumlah cukai yang dikutip oleh kerajaan lebih banyak berbanding SST. Cuma kadar SST dijangka berbeza-beza terutamanya melibatkan cukai jualan.

Perkara ini dijangka akan diumumkan oleh pihak kerajaan kelak. Bagi GST pula, hanya satu kadar dilaksanakan. Perbezaan kadar ini akan membezakan jumlah cukai yang perlu dibayar oleh pembeli mahupun pengguna.

Dalam hal percukaian ini, terdapat dua isu yang benar-benar dekat di hati rakyat. Pertama isu jumlah cukai yang perlu dibayar oleh pembeli. Kedua, kenaikan harga disebabkan cukai. Isu pertama melibatkan jumlah cukai yang perlu dibayar pembeli akan berbeza antara GST dan SST.

Soalnya di sini, apakah barangan dikenakan GST sebelum berkadar sifar, dan apakah pula barangan yang akan dikenakan SST yang dijangka dilaksanakan pada 1 September kelak. Dikatakan bahawa GST adalah lebih telus berbanding SST.

GST juga dikatakan lebih cekap berbanding SST kerana boleh mengurangkan kadar mereka yang mengelak membayar cukai.

Namun, sebaliknya, SST juga memiliki kebaikan kerana dikatakan lebih mudah buat peniaga serta tidak membebankan pengguna berbanding GST kerana SST melibatkan produk-produk tertentu sahaja.

Dalam hal ini, isu kedua pula melibatkan persoalan sama ada berlakunya kenaikan harga sesuatu produk selepas GST mahupun SST dilaksanakan?

Misalnya, produk yang berharga RM10, adakah harga produk tersebut dengan tidak mengambil kira jumlah cukai dikenakan kekal berharga RM10 meskipun GST pada kadar sifar pada masa kini atau enam peratus sebelum 1 Jun lalu?

Begitu juga, adakah harga produk tersebut kekal berharga RM10 dengan tidak mengambil kira jumlah cukai sebelum dan selepas pelaksanaan SST.

Dengan kata lain, harga produk tersebut sememangnya RM10 dengan tidak memasukkan pengiraan GST dan SST sama ada sebelum dan selepas pelaksanaannya. Jika selepas mengambil kira GST dan SST, pastinya adanya perbezaan harga.

Menyeluruh

Perbezaan harga itulah sepatut­nya jumlah cukai dikenakan. Dalam hal inilah, pihak penguat kuasa perlu mengetahui sejauh manakah peniaga menaik­kan harga barangan tersebut berbanding harga sepatutnya.

Malah, jika harga produk tersebut dinaikkan melebihi RM10, mungkin sahaja bukan kerana faktor cukai tetapi disebabkan oleh faktor-faktor lain misalnya, kadar mata wang Ringgit Malaysia (RM) lemah berbanding mata wang negara lain.

Dengan kata lain, kenaikan harga produk tersebut disebabkan oleh peniaga terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan produk tersebut yang perlu diimport dari luar negara tatkala mata wang Malaysia lemah berbanding mata wang asing terutamanya dolar Amerika Syarikat (AS).

Maka, peniaga terpaksa menjual pada harga tinggi berbanding RM10.Malah, faktor-faktor lain seperti kos pengangkutan dan gaji pekerja yang saban tahun meningkat juga perlu diambil kira dalam menentukan harga jualan sesuatu produk. Perbezaan harga jualan dengan harga kos akan menentukan keuntungan peniaga.

Adakah faktor-faktor ini diambil kira terlebih dahulu sebelum melihat jumlah cukai yang dikenakan menjadi punca kenaikan harga barangan dan perkhidmatan?

Sebab itulah ada yang berpen­dapat bahawa bukan cukai yang telah menyebabkan kenaikan har­ga barangan dan perkhidmatan. Banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira dalam konteks lebih menyeluruh lagi.

Cuma apa yang lebih menarik di sini, bagi produk yang tidak dikenakan SST berbanding dikenakan GST sebanyak enam peratus, berkemungkinan produk tersebut berharga lebih murah.

Contoh yang jelas kelihatan ialah harga kereta yang lebih murah pada masa kini. Ada juga yang ber­­pen­­dapat bahawa harga rumah dikatakan akan lebih murah selepas SST dilaksanakan. Masa akan me­nen­tukannya sama ada harga rumah akan lebih murah atau di sebaliknya.

Sememangnya GST adalah cukai berperingkat, namun perlu diketahui cukai tersebut akan dipulangkan semula pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM).

Ada yang berpendapat bahawa faktor masa untuk mengembalikan semula wang GST yang dikutip (tuntutan kredit) oleh peniaga menyebabkan peniaga menaikkan harga barangan kerana memberikan kesan terhadap operasi perniagaan.

Untuk salahkan Jabatan Kastam pun tidak adil sama sekali kerana mereka memerlukan masa untuk mengesahkan jumlah wang perlu dikembalikan melalui proses pengauditan. Sebab itulah untuk menyalahkan mana-mana pihak dalam isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bukanlah jalan penyelesaian sebenar.

Isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan perlu dilihat secara menyeluruh terutamanya dalam meningkatkan kuasa beli rakyat melalui pelbagai mekanisme ekonomi dan kewangan yang boleh dilaksanakan.

Apa yang penting, rakyat perlu diberikan pemahaman secara jelas, tuntas dan menyeluruh mengenai perubahan sistem GST kepada SST. Pada masa sama, isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan perlu ditangani secara cekap, berkesan dan menyeluruh.

Kerajaan perlu memastikan tidak berlakunya permasalahan dan kelemahan dalam pelaksanaan SST kelak agar tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan. Amalan mesra peniaga juga perlu diteruskan agar peniaga dapat menjalankan perniagaan mereka dengan baik.

Menjaga dan membela nasib semua pihak agar tidak membebankan mereka akan merealisasikan situasi menang-menang dalam melaksanakan apa jua sistem percukaian negara.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN