Pertemuan Trump, Putin pulih hubungan - Utusan Malaysia

Pertemuan Trump, Putin pulih hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HELSINKI 16 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin menghadiri sidang kemuncak pertama mereka yang dianggap ‘lapangan politik berbahaya’ bagi Washington, namun satu kemenangan geopolitik untuk Moscow.

Kedua-dua pihak tidak menjangkakan kejayaan besar daripada pertemuan di ibu negara Finland itu, hanya perjanjian untuk memulihkan hubungan AS-Rusia dan mungkin perjanjian memulakan perbincangan mengenai isu-isu seperti kawalan senjata nuklear dan pergolakan di Syria.

Kedua-dua Presiden yang sering memuji sifat kepimpinan masing-masing dari jauh itu dijangka bersetuju untuk ‘mengembalikan se­mula’ kedutaan masing-ma­sing selain harta diplomatik yang dirampas selepas gelombang pengusiran ekoran isu agen saraf bekas perisik Rusia di Britain.

Menjelang sidang kemuncak itu, kedua-dua pihak bercakap mengenai acara tersebut dengan Trump memberitahu stesen CBS bahawa beliau tidak meletakkan sebarang harapan tinggi ketika bertemu Putin.

Penasihat Keselamatan Nasio­nal, John Bolton ketika ditemu bual dalam rancangan This Week di stesen ABC pula menegaskan, AS tidak mencari satu bentuk tindakan dan mesyuarat itu tidak akan terlalu berstruktur.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov memberitahu, pihaknya tidak menaruh harapan tinggi dan ­me­nganggap sidang kemuncak itu sebagai kejayaan jika ada persetujuan untuk menyambung semula komunikasi yang terputus.

Bagi Putin, sidang kemuncak itu menunjukkan Washington me­­ngakui Moscow sebagai kuasa besar yang kepentingannya harus dipertimbangkan selain petanda kuat bahawa usaha Barat untuk menga­singkan Moscow gagal.

Dalam pada itu, Trump berkata, beliau mungkin meminta Putin untuk membenarkan 12 pegawai perisikan Rusia yang dituduh cuba mengganggu pilihan raya Presiden 2016 diekstradisi ke AS.

“Saya tidak memikirkan perkara itu, tetapi saya pasti akan bertanya mengenai hal itu, tetapi sekali lagi, ini adalah semasa pentadbiran Obama (Barack Obama), mereka melakukan apa sahaja semasa pentadbiran sebelum ini,” katanya kepada Jeff Glor dari CBS.

Bercakap sebelum sidang ke­muncak itu, Trump menambah, Parti Republikan juga menjadi sa­sa­ran usaha penggodaman Rusia tetapi pihaknya mempunyai langkah keselamatan siber yang unggul untuk menangkis serangan itu.

“Saya fikir Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik (DNC) harus malu kerana membenarkan diri mereka digodam. Mereka mempunyai per­tahanan yang buruk dan boleh di­godam. Tetapi saya mendengar me­reka cuba menggodam Parti Republikan juga. Tetapi walaupun ini mungkin salah, Republikan mempunyai pertahanan yang lebih kuat,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN