KANGAR 26 Julai – Pas melihat pertemuan antara Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. P. Ramasamy tidak berupaya menyelesaikan kontroversi membabitkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, sebaliknya, masalah yang melanda itu perlu diselesaikan oleh pihak berkuasa iaitu dengan mengambil tindakan segera terhadap Ramasamy yang dikaitkan di dalam gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Beliau berkata, pihaknya bimbang jika pertemuan itu diadakan ia akan mengganggu siasatan polis di dalam kes tersebut.
“Kita harap polis teruskan siasatan dan ambil tindakan sewajarnya terhadap Ramasamy dengan bukti sedia ada berkaitan pembabitannya di dalam LTTE itu,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Semalam, Mohd. Asri dan Ramasamy tampil menyahut saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof supaya diadakan pertemuan bagi menyelesaikan segala persoalan yang timbul berhubung kontroversi yang melanda.
Mohd. Asri bagaimanapun menegaskan, pertemuan itu bukan bertujuan unuk membersihkan nama Ramasamy sebaliknya untuk mendapatkan penjelasan daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu.
Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, jika pertemuan tersebut masih diadakan, beliau berharap menteri yang bertanggungjawab mengaturkan sesi bersemuka itu tidak prejudis terhadap mana-mana individu.
Katanya, jika pertemuan itu diadakan hanya untuk membersihkan nama Ramasamy, sudah pastinya ia tidak membawa apa-apa makna.
“Menteri (Mujahid) juga sepatutnya menyerahkan sahaja kes tersebut kepada pihak polis kerana jelas sudah terlalu banyak laporan dibuat terhadap Ramasamy,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shukri turut menggesa rakyat negara ini agar terus membuat laporan polis terhadap Ramasamy kerana isu membabitkan aktiviti keganasan ini tidak sepatutnya dibiarkan. – UTUSAN ONLINE










