SHAH ALAM 21 Julai – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR dan Bebas.
Pertandingan itu disahkan selepas Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam PRK itu pada kira-kira pukul 10.22 pagi iaitu 22 minit selepas tempoh proses penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi.
BN secara rasmi mempertaruhkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, 45, bagi merebut semula kerusi DUN tersebut yang dikuasai PKR sejak pilihan raya umum 2008 manakala PKR pula mempertaruhkan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama parti itu, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, 48.
Sementara itu, calon Bebas diwakili K. Murthy yang merupakan seorang pesara kerajaan berusia 60 tahun.
Proses penamaan calon dibuka pada pukul 9 pagi dengan Lokman hadir berbaju Melayu biru bersama-sama pencadang, Hairudun Mohd. Ali serta penyokongnya, Musalis Abdullah.
Hadir sama memberikan sokongan kepada calon BN ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, Mohd. Zawawi turut hadir bersama Azwan Mat Amid dan Siti Anum Tawil masing-masing merupakan pencadang serta penyokong beliau.
Mohd. Zawawi diiringi Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhami Shafie yang meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat, 2 Julai lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu, PKR memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 12,480 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari, Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Sementara itu, Lokman ketika ditemui menganggap kerusi DUN Sungai Kandis bukanlah tempat asing bagi beliau.
Sebaliknya, beliau menyifatkan kerusi itu merupakan lokasi utama beliau menjalankan pelbagai aktiviti semasa bergiat aktif sebagai aktivis reformasi ketika bersama PKR sebelum ini.
“Di Jalan Kebun misalnya, itu tempat saya bergiat aktif dalam gerakan reformasi sebelum ini.
“Perjuangan saya adalah untuk pastikan segala apa yang dijanjikan kerajaan PH pada pilihan raya umum lepas ditunaikan dan sekiranya saya diberi mandat, saya akan bantu dan tuntut habis-habisan,” katanya yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan PKR.
Sementara itu, Mohd. Zawawi mahu meneruskan usaha penyandang kerusi tersebut sebelum ini, Allahyarham Mat Shuhaimi dalam membela rakyat di DUN Sungai Kandis.
“Diharapkan pengundi akan terus memilih kami supaya kami dapat teruskan program kebajikan untuk rakyat,”
Dalam pada itu, Murthy memberitahu, beliau menawarkan diri bertanding dalam PRK Sungai Kandis kerana mahu berbakti kepada rakyat.
“Keputusan bertanding tidak dipengaruhi mana-mana pihak, ia keputusan saya sendiri. Saya mendapat ‘wahyu’ daripada Tuhan supaya bertanding dalam PRK Sungai Kandis.
“Dulu saya bekerja di bahagian pentadbiran dengan kerajaan negeri selama 34 tahun, sekarang saya nak masuk dewan (DUN) untuk menabur semula bakti,” ujarnya.










