KUALA TERENGGANU 24 Julai – Jabatan Penerangan negeri akan menganjurkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2018 selama sebulan bermula 1 Ogos depan.
Pengarahnya, Suwadi Guliling memberitahu, pertandingan tahunan yang menawarkan hadiah wang tunai RM17,500 dibahagi kepada 10 kategori.
“Ini termasuklah bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampung (tradisional/kampung baru/estet/Felda), sekolah menengah, sekolah rendah, taman perumahan, kediaman individu, pintu gerbang di samping Anjung Komuniti dan universiti.
“Semua pemenang akan mewakili negeri untuk diadili di peringkat kebangsaan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM75,000,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, peserta diminta menggunakan daya kreativiti masing-masing bagi menonjolkan sambutan perayaan serta mempamerkan semangat patriotisme.
“Mereka boleh guna apa sahaja termasuk barang terbuang seperti tin minuman, kotak atau plastik dan mengolahkannya menjadi sesuatu yang menarik serta bersesuaian dengan tema sambutan,” ujar beliau.
Borang pertandingan boleh didapati di Jabatan Penerangan Terengganu, Tingkat Tiga, Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu atau Pejabat Penerangan daerah-daerah.
Mereka yang berminat boleh juga melayari laman webwww.penerangan.gov.my/terengganu atau menghubungi Hamzah Mat Yusuf menerusi talian 09-6267826. – UTUSAN ONLINE










