KUALA LUMPUR 25 Julai – Sudahlah masih dibelenggu isu kesukaran untuk mengumpulkan pemain bagi menghadapi Sukan Asia 2018, Datuk Ong Kim Swee kini berdepan masalah baharu apabila terpaksa pula menentang empat pasukan dalam peringkat kumpulan.
Jika sebelum ini Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan, kini mereka perlu berdepan pasukan baharu, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perubahan itu diumumkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini selepas memutuskan untuk tidak melakukan undian semula bagi memasukkan dua negara yang sebelum ini tercicir daripada undian awal – UAE dan Palestin, sebaliknya menempatkan mereka dalam kumpulan sedia ada.
Palestin pula dimasukkan dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Hong Kong, Laos dan Taiwan.
Perubahan itu juga menyaksikan Malaysia terpaksa membatalkan aksi persahabatan kedua menentang Arab Saudi yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 Ogos kerana perlu memulakan kempen Sukan Asia pada 10 Ogos berbanding 12 Ogos.
“Kami sangat terkejut dengan cara undian dilakukan tetapi semua itu di luar bidang kuasa kami.
“Sekarang, kami perlu merangka semula perancangan dan tidak dapat menentang Arab Saudi seperti yang dirancang.
“Pemain akan berkumpul pada 30 Julai dan berlepas ke China untuk aksi persahabatan pada Khamis kerana kami akan menentang mereka pada Ahad.
“Kami perlu menggunakan masa yang terhad ini untuk melakukan persiapan terbaik sebelum menghadapi Sukan Asia,” kata ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) Malaysia, Kim Swee kepada pemberita.
Selepas menentang China pada 5 Ogos, Malaysia dijangka berlepas terus ke Indonesia kerana perlu berada di sana sekurang-kurangnya dua hari sebelum perlawanan pembukaan.
“Perancangan seterusnya akan dibincang dan diputuskan oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia),” kata Kim Swee lagi. – UTUSAN ONLINE










