KUALA LUMPUR 31 Julai – Aktres Fazura mengakui, terasa hati dan marah dengan tindakan pelakon Faezah Elai mempersendakan bentuk badan wakil yang menerima trofi bagi pihaknya ketika berlangsungnya acara Anugerah Telenovela 2018 yang berlangsung Sabtu lalu.
Sambil menyifatkan tindakan itu tidak seharusnya berlaku, Fazura juga menganggap perbuatan tersebut sebagai kurang sopan dan tidak berintergriti.
“Kenapa perlu berjenaka sampai nak aibkan orang? Jika di Amerika Syarikat, mana-mana artis yang bersikap sebegitu akan digam dan ditamatkan apa sahaja perkara yang melibatkan mereka.
“Berlainan pula di Malaysia. Orang jadikannya sebagai bahan lawak malah lebih teruk lagi penonton di dalam dewan termasuk pengacara turut sama mentertawakannya.
“Sebagai selebriti saya rasa perlu untuk saya suarakan perkara ini bagi mewakili individu yang tidak dapat menyuarakan hak mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media Minggu Fesyen New York 2018 anjuran Peniagawati di sini, hari ini.
Fazura turut mengecam tindakan seorang pelawak wanita yang menganggap isu itu sekadar gurauan yang tidak seharusnya dipandang serius.
“Saya tidak setuju dengan pendapat tersebut. Sebagai pelawak, dia seharusnya mencari bahan jenaka yang lebih bernas tanpa mengaitkan dengan bentuk fizikal dan isu sensitif.
“Mungkin perkara ini tak kena batang hidung sendiri jadi dia dengan sewenang-wenangnya mengambil mudah hal tersebut. Saya tidak akan berdiam diri dan sebagai selebriti saya akan terus bersuara jika menyentuh isu sensitif.
“Kalau itu sahaja bahan jenaka yang dia ada, sangat memalukan!” ujarnya.
Sabtu lalu, Faezah yang menyampaikan trofi kepada wakil Fazura dikatakan telah mengeluarkan perkataan berbaur penghinaan tentang fizikal wanita tersebut sebagai ‘Fazura selepas anak lima’. – UTUSAN ONLINE










