LONDON 17 Julai – Nabil Fekir memberi bayangan bahawa perpindahnnya ke Liverpool mungkin boleh direalisasikan pada musim panas ini.
Bulan lalu, pemain berusia 24 tahun itu hampir menyertai Anfield selepas yuran perpindahan sebanyak 53 juta pound (RM283 juta) mencapai persetujuan dengan Lyon. Fekir melengkapkan pemeriksaan kesihatan di pangkalan latihan Perancis dekat Clairefontaine, malah, dia sempat mengadakan sesi temubual bersama pasukan media Liverpool.
Namun, Liverpool kemudiannya secara tiba-tiba menarik diri daripada perjanjian tersebut selepas bimbang terhadap kecederaan lutut kanan yang dialami pemain tengah itu.
Fekir memerlukan pembedahan selepas mengalami keretakan di bahagian cruciate ligament pada September 2015 dan dia memerlukan pembedahan kedua di lutut sama 12 bulan selepas itu. Namun, Fekir pernah memberi bayangan bahawa perpindahannya ke Liverpool akan tetap terjadi.
Tidak lama selepas pemain itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow untuk menaiki penerbangan pulang ke Perancis, Fekir yang sedang berjalan melepasi peminat menjerit ‘Liverpool!’ kepadanya.
Bagaimanapun, berbanding tidak menghiraukan jeritan tersebut, Fekir sebaliknya mengangguk dan tersenyum kepada penyokong tersebut. Fekir kini akan bercuti selepas membantu Perancis menjulang Piala Dunia di Rusia.
Minggu lalu, Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas berkata, rundingan dengan Liverpool mungkin boleh disambung semula.
“Saya berasakan Liverpool akan kembali sekali lagi. Itu yang saya baca di akhbar, tetapi saya tidak akan memberitahu apa-apa. Perpindahannya menemui kegagalan pada Jun, tetapi dia sama sekali tidak terjejas. Dia fokus kepada Piala Dunia, dan masih berminat beraksi dengan Lyon.
“Nabil kini lebih rapat dengan Lyon berbanding ketika dia berunding bersama Liverpool. Mungkin dia akan menyertai Liverpool, ataupun kelab lain, tetapi jika dia kekal di Lyon, ia bakal menjadi tahun yang hebat untuknya dan juga kami,” kata Aulas kepada Le10 Sport. – AGENSI










