KUALA LUMPUR 26 Julai – Penyanyi bersuara emas, Misha Omar mengakui, pernah berasa putus asa sehingga mahu mengundurkan diri daripada dunia seni.
Katanya, sepanjang 16 tahun dalam industri, dia juga pernah melalui episod hitam apabila lagunya tidak dimainkan di radio dan kurang mendapat sambutan.
“Saya pernah juga rasa tertekan apabila ada pihak yang cakap suara saya tak sedap dan lagu tak mendapat sambutan. Tapi itu membuatkan saya menguatkan semangat saya untuk terus maju ke hadapan.
“Saya bersyukur kerana dikelilingi keluarga, rakan-rakan dan peminat yang sentiasa ada pada saat susah dan senang. Semua tahu hidup sebagai anak seni tidak mudah tapi kita kena terus berjuang,” katanya yang kini hadir dengan single baharu, Sampai Bila.
Dalam pada itu, Misha juga mendedahkan dia sedang menghadiri kelas vokal di bawah bimbingan Datuk Syafinaz Selamat demi memastikan kualti vokalnya berada di tahap terbaik.
“Sudah lama sebenarnya saya ingin menghadiri kelas vokal Syafinaz dan kini menjadi kenyataan. Selepas melahirkan anak, saya akui vokal saya sedikit lemah.
“Jadi ini adalah langkah untuk saya mantapkan kembali vokal,” katanya. – UTUSAN ONLINE










