'PERLU LAKUKAN SESUATU' - Utusan Malaysia

‘PERLU LAKUKAN SESUATU’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEUPAYAAN DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN mengisi slot tiga Naib Presiden UMNO menunjukkan UMNO masih memerlukan buah fikirannya untuk bersaing dalam padang politik yang penuh mencabar masa ini.

 

Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, bekas Menteri Besar Johor itu lebih banyak berterusterang apabila bercakap tentang usaha untuk mengembalikan pengaruh UMNO dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Ada perkara sensitif dan off the record diselitkan beliau dalam pertemuan lebih sejam ini. Begitupun, Mohamed Khaled positif UMNO mampu kembali bersaing sengit dengan Pakatan Harapan dalam tempoh satu penggal ini.

MINGGUAN: Apa beza UMNO sebelum PRU-14 dengan selepasnya?

MOHAMED KHALED: Keadaan parti yang berbeza sedang dihadapi sekarang. Dahulu UMNO membentuk kerajaan sekali gus menjadikan UMNO kuat. Kalau buat apa pun bersandarkan kepada kehendak dan keputusan ahli-ahli atau pihak dalaman UMNO.

Tetapi kerana keadaan UMNO yang paling rendah dalam sejarah kewujudannya kini, maka UMNO wajar beri perhatian juga kepada pandangan, pendirian dan kehendak masyarakat Melayu secara umumnya.

Terfikirkah Datuk Seri bahawa UMNO akan jatuh sebelum PRU-14 lagi?

MOHAMED KHALED: Pembangkang memang menetapkan matlamat mahu ambil alih Johor kerana Johor negeri yang mempunyai rizab yang tinggi. Tetapi kita tidak dapat kesan secara teliti dan mengenali hala tuju pendirian pengundi. Mungkin kerana gerak kerja berasaskan kepada input mereka yang ada dalam kawasan mereka mahukan begitu.

Tetapi yang tidak memberi sokongan adalah mereka yang tidak tinggal dalam kawasan mengundi atau daripada mereka yang tidak aktif dalam aktiviti parti. Jadi, kita pun sebenarnya tidak menjangkakan keputusan yang begitu teruk bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Kita ingat yang paling drastik pada hari mengundi adalah beberapa faktor yang berlaku di mana pengundi melihat kepada lambang parti dan bukan calon.

Adakah isu nasional meletakkan UMNO menjadi korban seperti isu 1MDB?

MOHAMED KHALED: Mungkin daripada segi hukuman kerana kita tidak memperjuangkan perkara yang sepatutnya kita lakukan. Ataupun kita perjuangkan pun, tetapi kita tidak dapat jayakan sepenuhnya.

Contohnya di Johor, soal kebimbangan isu-isu yang melanda parti dan negara memang kita bangkitkan di hadapan Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi ia tidak lebih daripada ada yang tidak sokong dan menidakkan usaha kita. Ada yang tidak boleh diterima.

Apabila keadaan itu berlaku maka kita ambil keputusan untuk cuba berhadapan dengan apa sahaja keadaan yang akan berlaku. Dan kesannya seperti apa yang kita dapat lihat hari ini.

Setelah keputusan PRU-14, apa kata Datuk Seri?

MOHAMED KHALED: Apa yang saya boleh katakan bahawa rakyat mempunyai pendirian tentang isu berkaitan integriti. Rakyat dipengaruhi oleh tuduhan-tuduhan dan juga kritikan yang pembangkang buat terhadap BN, misalnya harga barang naik, harga minyak yang turun naik.

Rakyat juga terpengaruh dengan janji-janji populis yang dibuat oleh parti pembangkang waktu itu. Ini membuatkan BN tidak berjaya. Sama ada Pakatan Harapan akan kekal atau tidak bergantung kepada gerak kerja UMNO dan BN setelah mereka tidak menjadi kerajaan dalam masa lima tahun.

Satu faktor yang jelas, BN dan UMNO tidak lagi diketuai Najib. Perkara kedua, UMNO kena tunjukkan kewujudannya relevan dan dia masih berperanan serta ada kewibawaan untuk bangunkan semula keyakinan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia. Kalau tidak buat dalam masa lima tahun maka janji-janji populis (Pakatan Harapan) yang tidak terlaksana itu akan dilupakan.

Apakah siasatan terhadap 1MDB akan menjejaskan imej UMNO?

MOHAMED KHALED: Tentu orang akan persoalkan, jadi kita harap apa pun, ia tidak berpanjangan. Kita (UMNO) harap siasatan dapat disegerakan.

Mungkin juga apa-apa siasatan yang dibuat, telah ‘diadakan’ oleh kerajaan yang ada supaya perasaan curiga, benci terhadap UMNO itu kekal berpanjangan dalam diri masyarakat. Apabila itu ada, maka dengan sendirinya akan menafikan sokongan terhadap UMNO.

Di mahkamah tempoh hari, kelihatan masih ramai orang UMNO menanti kehadiran bekas presiden mereka. Apa pendirian UMNO dalam hal ini?

MOHAMED KHALED: Apa yang dilakukan menunjukkan bagaimana pemimpin dan ahli-ahli UMNO tidak lupakan jasa bekas pemimpin mereka. Mereka menghargai walaupun dituduh dengan macam-macam.

Namun tidak dinafikan Najib juga banyak melakukan sumbangan dan memberi jasa kepada negara dan orang-orang Melayu. Sebab itulah pemimpin dan ahli-ahli UMNO terus menyokong beliau dalam keadaan yang mencabar. Ini adalah suatu sifat dan nilai yang sangat baik. Kita bukan hanya berkawan dalam masa senang sahaja tetapi juga dalam masa susah.

Ini juga melambangkan amalan nilai yang ada dalam kalangan pemimpin UMNO. Kini tiba giliran Najib yang kena dan yang lain-lain membantu. Pada masa sama UMNO mesti memperjuangkan isu-isu yang lebih besar untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia. Saya percaya kepimpinan parti baharu akan merangka usaha-usaha sebegitu. Mungkin terlalu awal tetapi itu hanya sampingan. Yang utama UMNO kembali ke landasan perjuangannya sebenar sebagai parti yang melindungi kepentingan orang Melayu dan Islam.

Kita boleh lihat Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu partinya gantikan UMNO untuk lakukan perkara itu. Memang mudah cakap kerana semua orang cakap perkara yang sama tetapi daripada segi amalan dan terjemahannya tidak begitu dan persepsinya lain. Ia dapat dilihat apabila mereka menjadi kerajaan pada hari ini apabila ada yang mahu mengubah kepada sebaliknya.

Sedangkan UMNO ada bukti dan track record dan berada di seluruh pelosok tanah air. UMNO hanya perlu kembali dan bangkitkan kesedaran dalam kalangan pemimpin dan pengikutnya. Insya-Allah orang Melayu akan lihat UMNO mampu melakukannya.

 

Adakah PPBM hanya bergantung kepada Dr. Mahathir?

MOHAMED KHALED: Ahli-ahli PPBM perlu melihat apakah yang akan berlaku selepas era Dr. Mahathir. Apa sebab mereka selama ini bersama parti itu? Kalau mahu kembalikan UMNO pada asal supaya memberi kebaikan kepada orang Melayu atau gerakkan amal bakti untuk orang Melayu, maka barulah boleh rasa gembira.

Ada orang Melayu yang masih susah dan sebagainya. Untuk bangkitkan orang Melayu, rasanya UMNO itu sangat dekat dengan mereka. Kita mahu menang dan ambil hati masyarakat Melayu maka kita kena pastikan ada rasa rapat orang Melayu dengan UMNO. Siapa yang akan mereka yakin dan percaya sama ada UMNO, Parti Amanah Negara atau PPBM?

Kita kena terima hakikat UMNO telah dipandang negatif dan perlu lakukan sesuatu. Kena mulakan daripada sekarang. Orang Melayu perlu ada suatu gerakan yang menyokong untuk kepentingan mereka.

Ada cakap-cakap pasal usaha pihak tertentu mahu ‘merubah’ perlembagaan sehingga membimbangkan Melayu?

MOHAMED KHALED: Soal kita menerima kemajuan dan pembaharuan, kita perlu lihat kepada soal bagaimana kita perlu kekalkan karakter Melayu kita dan jati diri kita. Yang itu yang orang Melayu kurang.

Mereka tidak fikir tentang kedudukan mereka seperti bahasa, adat dan sebagainya. Semua benda mahu diubah dan ia berbeza dengan kaum lain. Ini yang perlu diberi pandangan dan fokus. Keadaan itu berlaku kerana mereka tidak faham fasa-fasa yang ada dalam perlembagaan. Pada masa sama, mereka juga perlu memainka peranan.

Contohnya raja-raja, kalau hanya ada satu pihak yang hormat dan kalau mereka tidak menjaganya bagaimana perkara itu mahu dipelihara. Orang Melayu perlu sensitif dengan apa yang mereka ada.

Bahasa, agama dan jati diri, pakaian, makanan, takkanlah mereka mahu hilang di dunia. Kalau orang Melayu tanpa bahasa mereka, bagaimana mereka mahu mengatakan mereka itu orang Melayu. Bahasa itu jiwa bangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN