MEKAH 20 Julai – Segala-galanya sudah tersedia, cuma menanti kedatangan jemaah haji yang akan tiba secara berperingkat di Mekah bermula Ahad ini.
Semua perkhidmatan meliputi 18 bangunan kediaman di 12 maktab muasasah sudah dibuka termasuk pusat khidmat di mana jemaah boleh mendapatkan segala maklumat pergerakan serta bimbingan untuk ibadah haji mereka.
Klinik serta bilik kecemasan juga sudah dibuka dan sedia menanti jemaah yang memerlukan khidmat rawatan.
Ini semua bagi memastikan keselesaan jemaah sepanjang berada di kota suci ini bagi mengerjakan haji.
Hari ini, petugas media dibawa melawat ke bilik-bilik penginapan di Abraj Al-Janadriyah dan diberikan penerangan oleh petugas maktab tentang kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk jemaah.
Bilik yang disediakan boleh menempatkan antara tiga hingga tujuh orang bergantung kepada keluasan.
Di setiap bilik jemaah dibekalkan kit minuman seperti teh, kopi serta susu tepung untuk membuat minuman.
Mereka juga dibekalkan jadual solat, peta untuk ke Masjidilharam yang turut memaparkan tanda-tanda kawasan yang mudah diingat agar tidak sesat.
Jadual bagi program ceramah, kunjungan pasukan pembimbing dan kaunselor selain beberapa maklumat bagi memudahkan pergerakan mereka semasa berada di kota suci ini turut disediakan.
Kaunter kewangan turut dibuka untuk jemaah melakukan transaksi pengeluaran wang selain aspek nilai tambah seperti menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan penghantaran bagasi ke tanah air.
Buat pertama kali pada musim haji kali ini, setiap jemaah dibekalkan dengan lanyard (tali penyandang lencana pengenalan diri) berbeza warna mengikut maktab penginapan masing-masing untuk umrah pertama mereka sebaik sahaja memasuki Mekah.
Ini bagi memudahkan petugas Tabung Haji memantau pergerakan jemaah berikutan semakin ramai jemaah haji dari seluruh dunia mula memasuki Mekah. – UTUSAN ONLINE










