Perkeso telah selesaikan pampasan kepada wanita cuba terjun jambatan - Utusan Malaysia

Perkeso telah selesaikan pampasan kepada wanita cuba terjun jambatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU –  Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri memaklumkan telah membuat pembayaran pampasan sebanyak RM29,966 kepada suami seorang wanita yang dikatakan cuba terjun dari jambatan Peserai di Batu Pahat semalam.

Pemberian pampasan tersebut sekali gus menafikan dakwaan wanita berusia 27 tahun itu yang beliau masih belum mendapat tuntutan daripada pertubuhan berkenaan berhubung kes suaminya itu.

Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang berkata, pihaknya telah membuat bayaran kepada suami wanita berkenaan pada hari sama sewaktu permohonan dikemukakan kepada Perkeso pada 28 Ogos tahun lalu.

“Perkeso telah membuat bayaran faedah hilang upaya sementara waktu sebanyak RM14,267 pada 28 Ogos tahun lalu selain jumlah bilangan hari sijil cuti sakit yang dibayar adalah selama 261 hari.

“Perkeso juga telah membuat bayaran faedah hilang upaya kekal sebanyak RM13,798 pada 3 Jun lalu. Suami wanita itu juga mendapat bantuan implan screw fix of scaphold  yang ditanggung Perkeso pada 10 Ogos tahun lalu berjumlah RM1,900. Jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM29,966.73,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sing Chuang memberitahu, suami mangsa telah ditimpa kemalangan pada 8 Ogos 2017 semasa membuat servis penyaman udara sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dari tangga dan mengalami patah tangan kanan. 

“Ketika itu, mangsa baru bekerja dengan majikan selama sebulan dan Perkeso melindungi suami mangsa di bawah Skim Bencana Pekerjaan, walaupun  baru mula kerja telah dilindungi di bawah skim ini,” ujarnya.

Akhbar hari ini, melaporkan wanita yang bekerja sebagai pembantu makmal sebuah sekolah di Ulu Tiram, Johor Bahru menggemparkan orang ramai apabila dia yang membawa dua anaknya dipercayai bertindak menghentikan kereta di Jambatan Peserai di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, tindakan wanita berusia 27 tahun itu  mengundang kegusaran orang ramai sehingga ada yang mendakwa dia dipercayai cuba terjun dari jambatan berkenaan. –  K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN