JOHOR BAHRU 26 Julai – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri ini menafikan dakwaan seorang wanita yang dikatakan cuba terjun dari Jambatan Peserai di Batu Pahat semalam bahawa suaminya yang ditimpa kemalangan di tempat kerja masih belum mendapat tuntutan daripada pertubuhan berkenaan.
![]() |
|
Tong Sing Chuang
|
Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang berkata, pihaknya telah membuat bayaran kepada suami wanita berkenaan pada hari sama sewaktu permohonan dikemukakan kepada Perkeso pada 28 Ogos tahun lalu.
“Perkeso telah membuat bayaran faedah hilang upaya sementara waktu sebanyak RM14, 267.97 dan HUK RM 13, 798.76 pada 28 Ogos tahun lalu dan bayaran hilang upaya kekal sebanyak RM13,798.76 pada 3 Jun lalu.
“Suami wanita itu juga turut mendapat bantuan implan screw fix of scaphold yang ditanggung Perkeso pada 10 Ogos tahun lalu berjumlah RM 1,900. Jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM29,966.73,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan wanita yang bekerja sebagai pembantu makmal sebuah sekolah di Ulu Tiram, Johor Bahru menggemparkan orang ramai apabila dia yang membawa dua anaknya dipercayai bertindak menghentikan kereta di Jambatan Peserai di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, tindakan wanita berusia 27 tahun itu mengundang kegusaran orang ramai sehingga ada yang mendakwa dia dipercayai cuba terjun dari jambatan berkenaan.
Wanita itu mendakwa mengalami masalah kewangan kerana suaminya tidak bekerja akibat kemalangan di tempat kerja sejak tujuh bulan lalu manakala tuntutan Perkeso belum diperoleh. – UTUSAN ONLINE











