JOHOR BAHRU 11 Julai – Kerajaan negeri perlu mempunyai perancangan jangka panjang bagi memperkasakan lagi pengangkutan awam, sekali gus menjadikannya pilihan utama rakyat.
Justeru, Barisan Nasional (BN) negeri ini berharap langkah kerajaan negeri menukar nama Bas Muafakat Johor menjadi Bas Harapan Johor bukan sekadar menukar ‘hiasan’ pada badan kenderaan tersebut, sebaliknya disusuli dengan perancangan jangka panjang yang holistik.
Ketua Pembangkang negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, semasa kerajaan negeri diterajui BN, Pelan Induk Pengangkutan Awam (PIPA) yang holistik telah disediakan dan diyakini mampu memberi rakyat lebih banyak pilihan serta kemudahan bagi memenuhi keperluan mereka.
Menurutnya, Bas Muafakat Johor diperkenalkan bukan hanya sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup dan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya, malah bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna pengangkutan awam.
“Justeru, kita berpendapat, usaha untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan rakyat tidak memadai dengan hanya menukar nama sedangkan pelan pengangkutan awam Johor yang holistik telah pun disediakan dan sewajarnya dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hasni berkata, pada masa sama, menerusi pelan perniagaan yang mantap, kos ditanggung oleh kerajaan menerusi perkhidmatan tersebut juga dapat dikurangkan, selain memperluaskan kepada warga asing dengan dikenakan bayaran dalam usaha meningkatkan jumlah penggunanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga boleh mempersiapkan Bas Harapan Johor supaya menjadi feeder yang penting kepada sistem Bas Rapid Transit (BRT) di bawah kelolaan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang akan dilaksanakan kelak.
“Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menyediakan pondok bas di lokasi yang tepat dengan reka bentuk menarik seperti terdapat di beberapa lokasi di sekitar bandar raya Johor Bahru,” katanya.
Menurutnya, pelan pengangkutan awam yang disediakan itu diharap akan dapat mengatasi kesesakan di Tambak Johor dan Lebuh Raya LinKedua.











