KUALA LUMPUR 14 Julai – Perebutan kedudukan naib juara Liga Super masih terbuka empat pasukan termasuk Perak, Pahang dan Terengganu meskipun masing-masing gagal meraih tiga mata penuh dalam aksi malam ini.
Perak kini menghuni kedudukan kedua liga dengan 32 mata diikuti Pahang, Kedah dan Terengganu yang mengumpul 30 mata selepas 19 perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Perak, tuan rumah dan Pahang masing-masing berkongsi satu mata selepas terikat seri 1-1.
Pasukan pelawat bagaimanapun berada di hadapan terlebih dahulu menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-17 namun kegembiraan mereka tidak lama apabila Perak kembali menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian menerusi Norhakim Hassan.
Nasib malang menimpa Terengganu apabila tewas 0-4 kepada PKNS dalam aksi di Stadium Shah Alam dengan Bruno Matos meledak dua jaringan termasuk satu sepakan penalti pada minit ke-16 manakala dua lagi jaringan diraih menerusi Zac Anderson dan Jafri Firadus Chew.
Aksi di Stadium Sultan Muhammad IV menyaksikan Kelantan terus bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran selepas terikat 1-1 dengan Melaka United.
Skuad kendalian Yusri Che Lah itu mendahului permainan pada minit-12 menerusi Shafiq Shaharudin namun impian untuk meraih tiga mata berharga lebur apabila pasukan pelawat meledak jaringan penyamaan pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti Egor Zubovich.
Negeri Sembilan mencatat kekalahan keempat berturut-turut selepas tewas 1-2 kepada PKNP di Stadium Tuanku Abdul Rahman.
Hafiz Ramdan meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-65 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Nicolas Valez pada minit ke-79 dan Kim Sang Woo meranapkan impian tuan rumah dengan jaringan kemenangan pada minit ke-84.-UTUSAN ONLINE










