Rabu lalu (25 Julai 2018) saya menghadiri suatu persidangan wakaf Nusantara di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Mengambil kesempatan kehadiran beberapa sahabat lama dalam kalangan pengamal undang-undang pada pagi itu, saya tanyakan pendapat mereka apakah wajar Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dimansuh?
Saya maklumkan mereka bahawa pada Ahad 22 Julai Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan hasratnya untuk mansuhkan beberapa akta yang dianggap zalim termasuklah SOSMA, tetapi pandangan beliau itu tidak disokong oleh beberapa pihak lain.
Datuk Salim, seorang peguam berusia lewat 50-an yang hadir di persidangan itu menyatakan bahawa walaupun dia menyokong beberapa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama sebulan dua ini, dia merasakan adalah lebih baik SOSMA dikekalkan tetapi dengan syarat ia diperbaiki segera.
Beliau menambah kerajaan perlu melakukan satu siri public engagement untuk mendengar pendapat semua pihak yang berkepentingan, sebelum membuat keputusan muktamad sama ada memansuhkan SOSMA atau membuat pindaan penambahbaikan sahaja.
Tambahnya lagi, siri public engagement ini bolehlah disifatkan sebagai satu refrendum kecil atau musyawarah di mana kerajaan boleh mengetahui suara hati rakyat jelata. Beliau berharap apa juga keputusan yang akan dibuat nanti oleh Putrajaya ini tidak akan diambil secara tergesa-gesa, semata-mata kerana mahu dilihat sebagai “memenuhi janji pilihan raya” mereka.
Datuk Salim mengingatkan saya bahawa kerajaan Pakatan Harapan bukan kerajaan bagi penyokongnya sahaja, tetapi kerajaan bagi keseluruhan rakyat negara ini. “Bagi saya, adalah lebih bijaksana untuk SOSMA disemak semula, bukan dimansuhkan,” tegasnya lagi.
Pendapat sahabat saya ini selari dengan pandangan Tan Sri Lee Lam Thye yang berpendapat kerajaan perlu mendapatkan pandangan daripada PDRM dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan tindakan memansuhkan SOSMA itu nanti tidak akan mengakibatkn kadar jenayah dan aktiviti pengganas di negara ini meningkat lagi.
Pengamal undang-undang Tan Sri Muhammad Shafee mahu SOSMA dimansuhkan kerana ia merupakan satu undang-undang yang draconian selain “merampas kuasa kehakiman” berhubung kuasa memberi bail (bebas dengan ikat jamin) kepada orang tertuduh. Bagi beliau, tidak ada jaminan SOSMA tidak akan disalah guna oleh pihak berkuasa. Pada 2016 lalu 80 kumpulan aktivis hak asasi manusia menggesa SOSMA dimansuhkan ekoran siri tangkapan beberapa individu yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 5.
Bagi ahli akademik Dr Muhammad Fathi Yusof, SOSMA tidak wajar dimansuh, tetapi perlu dipinda dan ditambah baik. Mengikutnya, “sejarah silam ISA” seperti Operasi Lalang 1987, Operasi Kenari 1988 dan operasi aktivis reformasi 1998 mencatatkan “kezaliman pemerintah terhadap rakyat”.
Langkah memperbetulkan
Pemansuhan ISA (digantikan oleh SOSMA) merupakan langkah memperbetulkan keadaan sedemikian itu. Namun begitu, SOSMA masih tidak sunyi daripada kecacatannya yang perlu ditangani dan diperbetulkan.
Muhammad Fathi menambah, penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Mathias Chang dan Maria Chin Abdullah di bawah SOSMA menunjukkan undang-undang ini boleh disalah guna untuk tujuan politik. Oleh itu, beliau berpendapat jika SOSMA mahu dikekalkan ia hendaklah dipinda – termasuklah mewujudkan sekatan supaya ia tidak disalahgunakan untuk tujuan politik atau tujuan lain yang tiada kaitan dengan isu keselamatan negara dan keganasan.
Pengamal undang-undang Zainur Zakaria berpendapat SOSMA telah disalahgunakan dalam kes melibatkan Khairuddin dan peguamnya Mathias Chang, apabila mereka dituduh mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Bagi peguam Mohamed Haniff, SOSMA bertentangan dengan konsep keadilan kerana di bawah undang-undang ini, seseorang itu boleh terus ditahan (tidak dibenarkan untuk bebas dengan ikat jamin) sehinggalah proses rayuan berakhir walaupun orang itu telah didapati tidak bersalah oleh hakim di peringkat bicara.
Bagi Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, SOSMA perlu dikekalkan untuk melindungi ketenteraman awam dan keselamatan negara. Pendirian ini dikongsi oleh mantan KPN, Tan Sri Musa Hassan, yang tidak setuju SOSMA dimansuhkan kerana padanya undang-undang itu adil. Tegas beliau, di bawah SOSMA seorang suspek itu boleh ditahan selama 28 hari sahaja sebelum dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan, dan jika didapati tidak bersalah, tahanan itu hendaklah dilepaskan. Situasi ini lebih baik daripada ISA.
Menurutnya lagi, mereka yang kini ditahan di bawah SOSMA disyaki telah melakukan jenayah berat seperti penyeludupan manusia dan aktiviti keganasan jenayah terancang. Terbaru, beberapa anggota kumpulan militan Daesh telah ditangkap dan disiasat di bawah SOSMA.
Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat kerajaan perlu mendapatkan pandangan pasukan keselamatan negara seperti PDRM, Angkatan Tentera dan pihak berkuasa lain sebelum membuat keputusan muktamad untuk memansuhkan SOSMA. Tindakan sedemikian itu perlu untuk memastikan sama ada pemansuhan SOSMA ini akan membantu mereka mencegah keganasan atau sebaliknya.
SOSMA diluluskan oleh Parlimen Malaysia enam tahun lalu, pada 17 April 2012 dan dikuatkuasakan mulai 31 Julai 2012 di bawah P.U.(B) 256 yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Akta ini kemudian dipinda pada tahun 2015. Ada pihak melihat SOSMA sebagai satu undang-undang yang “lebih baik” berbanding pendulunya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), disebabkan tempoh tahanan di bawah SOSMA adalah 28 hari manakala di bawah ISA tempohnya boleh berlanjutan sehingga 60 hari.
Dalam kalangan pengamal undang-undang, isu yang lebih penting daripada tempoh tahanan adalah peruntukan dalam SOSMA yang tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sehingga kesnya selesai di peringkat rayuan paling mutakhir, dan ini dilihat oleh mereka sebagai tindakan salah oleh badan eksekutif mencerobohi kuasa budibicara kehakiman. Selain itu, kes-kes yang sudah sampai ke mahkamah pada masa lalu ini membuktikan SOSMA telah disalahgunakan untuk kepentingan politik.
Kesimpulannya, ada pihak yang menyokong niat kerajaan untuk memansuhkan SOSMA (siap dengan segala sebab dan alasannya) dan pada masa yang sama, ada pihak lain yang mahu SOSMA dikekalkan tetapi dengan syarat segala kelemahan dan kecacatannya diperbaiki. Ada pula pihak ketiga yang mengambil jalan tengah, mencadangkan bahawa sebelum satu keputusan muktamad dibuat (yang tidak terburu-buru), kerajaan hendaklah terlebih dahulu mengadakan public engagement untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak yang berkepentingan.
Imam Ibnu Qayyim ada berpesan agar kita tidak bertindak tergesa-gesa kerana temannya adalah penyesalan. “Dan katakanlah, bahawa siapa yang tergesa-gesa dia akan menyesal”.
* DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.










