MOSCOW – Perancis akhirnya berjaya menjulang gelaran juara Piala Dunia buat kali kedua selepas menjinakkan pasukan Croatia 4-2 pada aksi final edisi 2018 yang penuh dramatik di Stadium Luzhniki, Moscow, Rusia malam ini.
Kali terakhir Perancis memenanginya ialah ketika menjadi tuan rumah pada 1998 di mana mereka menewaskan Brazil 3-0 dan berpeluang melakukannya pada edisi 2006 di Jerman sebelum tewas di tangan Itali menerusi penalti.
Perlawanan malam ini jelas lebih banyak memihak kepada skuad Les Bleus yang dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menafikan hasrat Croatia memenangi gelaran sulung Piala Dunia.
Jaringan daripada pemain bintang, Antoine Griezmann, Paul Pogba dan Kylian Mbappé sudah cukup menghadiahkan kegembiraan buat rakyat Perancis untuk menyambut kejayaan mereka.
Namun kemenangan Perancis turut dibantu oleh gol sendiri Mario Mandzukic serta keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti hasil sistem Bantuan Video Pengadil (VAR).
Croatia beraksi lebih baik pada awal babak pertama namun ketinggalan 0-1 hasil sepakan percuma Griezmann yang ditanduk masuk oleh Mandzukic ke gawang sendiri.
Ivan Perisic kemudian berjaya menyamakan kedudukan buat Croatia, namun dia turut menjadi punca pasukannya kembali ketinggalan apabila pengadil memberi sepakan penalti akibat bola terkena tangannya.
Selepas rehat, Perancis mula menjarakkan kedudukan 4-1 hasil jaringan Pogba dan Mbappe, namun kesilapan penjaga gol Hugo Lloris berjaya memberi sedikit harapan kepada Croatia untuk kembali dalam permainan dengan kedudukan 4-2.
Meskipun Croatia terus mencuba untuk kembali memberi saingan, namun anak buah Didier Deschamps berjaya bertahan sehingga tamapt permainan untuk membawa pulang trofi paling berprestij ini buat kali kedua dalam sejarah mereka.
Perancis dan Croatia pernah bertemu lima kali di mana Les Bleus menang sebanyak tiga kali (1998, 1999, 2000) manakala dua lagi pertemuan berakhir dengan seri (2004 dan 20011).
Dua daripada lima pertemuan itu berlaku dalam kejohanan besar iaitu ketika Perancis menang 2-1 pada Piala Dunia 1998 dan seri 2-2 pada Euro 2004
Bagi croatia pula, meskipun kalah, mereka menjadi negara ke-13 di dunia dan kesepuluh di Eropah yang berjaya mara ke final.
Kali terakhir pasukan baharu yang mara ke final telah memenangi Piala Dunia ialah Perancis pada 1998 dan Sepanyol pada 2010 manakala Belanda menjadi pasukan terakhir yang gagal menjuarainya pada 1974. – K! ONLINE










