IPOH 22 Julai – Kerajaan negeri sedia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai kelayakan memasuki perkhidmatan awam di negeri ini dengan syarat pemohon mempunyai kelulusan kredit dalam bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu selaras dengan janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Seperti mana yang Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik beritahu, kita sedang bergerak ke arah itu (pengiktiran UEC) dan kalau kerajaan Pusat bersetuju, maka kita juga akan turut mengambil langkah sama.
“Bagaimanapun dengan syarat pemohon fasih berbahasa Melayu atau memiliki kelulusan kredit bagi mata pelajaran itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Politeknik Negeri Perak 2018 di Dewan Seri Perdana, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan di Ulu Kinta di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










