KUALA LUMPUR 24 Julai – Menampilkan 10 penyanyi baharu yang berpengaruh dalam laman sosial, program realiti terkini terbitan Astro, Big Stage bakal mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat generasi muda.
Memperkenalkan konsep pemarkahan juri profesional sepenuhnya untuk pemberian markah fasa pertama, Big Stage dilihat sebagai pentas terbaik untuk barisan artis muda membuktikan bakat mereka kepada peminat seni hiburan tempatan.
Pun begitu, peminat turut berperanan dalam memastikan peserta kegemaran mereka mara ke peringkat seterusnya.
“Setiap minggu, dua peserta yang memperoleh markah paling rendah perlu bersaing meraih simpati peminat untuk mengundi mereka sekali gus menyelamatkan penyanyi berkenaan daripada disingkirkan.
“Peminat yang ingin mengundi harus mempunyai akaun Tik Tok untuk membuat undian,” ujar Ketua Strategi Kandungan & Inovasi Astro, Namanzee Harris.
Lima peserta lelaki yang bakal berentap ialah Andi Bernadee, Tajul Arif, Afieq Shazwan, Ariff Bahran dan Syafiq Farhain manakala peserta wanita pula terdiri daripada Wani Kayrie, Sissy Iman, Fara Hezel, Baby Shima dan Sarah Suhairi. – UTUSAN ONLINE










