Penuntut USM rangkul hadiah utama pertandingan seni - Utusan Malaysia

Penuntut USM rangkul hadiah utama pertandingan seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 17 Julai – Dua pelajar tahun tiga Bahagian Seni Halus, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah peribadi selepas merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Seni Terbuka Butterworth 2018 baru-baru ini.

NORFATIHAH YUSOF (kanan) dan Putri Intan Sari Amrizal merakam kenangan di hadapan kerja seni mereka yang menjuarai Kategori Instalas Pertandingan Seni Terbuka Butterworth 2018 di Butterworth, baru-baru ini.

Norfatihah Yusof dan Putri Intan Sari Amrizal berjaya memenangi kategori Isntalasi dalam pertandingan itu menerusi karya mereka yang bertajuk The Magical Bloom of Our Future sekali gus membawa pulang piala dan wang tunai RM3,000.

Karya tersebut dihasilkan menggunakan seramik dan secara ringkasnya menceritakan tentang harapan dan visi Butterworth Baharu melalui representasi alam dan diselia oleh pensyarah Bahagian Rekaan Produk, Pusat Pengajian Seni USM, Dr. Shamsu Mohamad.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Dr. A.S. Hardy Shafii berkata, hasil karya tersebut membuktikan bakat, kreativiti dan kesungguhan pengkarya perlu digabungkan dengan disiplin ilmu seni, sains dan teknologi.

Katanya, kesemua gabungan elemen itu bagi melahirkan artis yang berminda holistik serta peka dengan isu-isu kontemporari.

“Pelajar ini juga setelah menambahkan ilmu praktikal semasa latihan industri berjaya menghasilkan idea yang baharu dan segar bagi mencetus nilai artistik yang lebih bermutu,” katanya.

Hadiah disampaikan Penge­rusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian ne­geri, Yeoh Soon Hin serta turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Rozali Mohamud.

Program Butterworth Open Art Competition 2018 dianjurkan oleh MPSP dan Penang Global Tourism dengan kerjasama Think City, Zart Eventive, Pro­vince Wellesly Run (PWR) dan TLM Event.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN