PULAU PINANG 24 Julai – Seorang penuntut universiti ditahan kerana memiliki amunisi atau dua butir peluru ketika menjalani satu pemeriksaan rutin di balai pelepasan domestik, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, ketika kejadian, suspek yang juga seorang wanita dikatakan sedang bersiap-siap untuk berlepas ke Pulau Langkawi, Kedah.
Katanya, dua butir peluru itu ditemukan di bahagian bawah beg yang dibawa oleh suspek berusia 20 tahun itu dan suspek juga dikatakan gagal memberikan penjelasan memuaskan mengenai penemuan tersebut.
Beliau berkata, pengadu yang juga seorang anggota polis bantuan bersama rakannya kemudian membuat satu laporan polis berhubung kes terbabit untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal polis mendapati, beg yang mengandungi peluru itu milik adik lelaki suspek yang bekerja sebagai ‘budak pantai’ di Langkawi.
“Difahamkan daripada suspek, adiknya telah menjumpai peluru tersebut berhampiran pantai dan menyimpannya tanpa pengetahuan suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Anbalagan, suspek kini direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – UTUSAN ONLINE










