PUTRAJAYA – Penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak atau sebuah badan bebas kanak-kanak yang akan melapor dan membuat cadangan kepada Parlimen merupakan antara perkara yang sedang dikaji oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) susulan kematian Adam Rayqal Mohd. Sufi di rumah pengasuhnya pada Selasa.
Timbalan Menteri berkenaan, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, perkara itu akan beliau bincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Selain itu, katanya, KPWKM turut menetapkan sasaran supaya pusat penjagaan kanak-kanak dapat diwujudkan di agensi kerajaan tidak kira di bandar besar atau di peringkat daerah menjelang 1 Januari 2019.
“Kes Adam Rayqal menunjukkan terdapat ruang yang boleh ditambah baik untuk melibatkan pengasuh dalam dua akta yang sedang diguna pakai iaitu Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) untuk tujuan perlindungan kanak-kanak manakala Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) pula untuk mengawal selia Taman Asuhan Kanak-kanak,” kata Hannah kepada pemberita ketika ditemui di KPWKM selepas mesyuarat khas berhubung kes tersebut di sini hari ini.
Tambah beliau, penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak perlu kerana KPWKM sedar bahawa kanak-kanak adalah aset yang paling penting buat masa depan negara. – Bernama










