Pentas teater platform terbaik Faha Azhar curi ilmu - Utusan Malaysia

Pentas teater platform terbaik Faha Azhar curi ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Julai – Baru sahaja selesai menerajui pementasan teater muzikal Usop Yeh Yeh di Auditorium JKKN Perak pada pertengahan Julai lalu, Faha Azhar, 25, mengakui peluang keemasan itu adalah platform terbaik untuk memanjangkan langkah seninya.


Julung kali diberi peranan selaku nakhoda dalam mengemudi empat pementasan berdurasi kurang dua jam, anak kelahiran Ipoh, Perak itu berasakan pemilihannya mendukung watak Usop diibaratkan pucuk dicita ulam mendatang.


“Sejak dari bangku sekolah lagi saya telah didedahkan dengan seni persembahan teater. Malah, adik-beradik saya juga mula mengasah bakat lakonan mereka di pentas serupa.


“Bahkan, kedua-dua orang tua saya merupakan penyokong tegar kami empat beradik atas sokongan padu mereka tanpa berbelah bahagi setiap kali terlibat dengan sebarang acara seni,” ceritanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.


Selain Faha, dua lagi adiknya, Harith Iman, 20, dan Aidil Amin, 16, turut mengikut rapat jejak langkahnya melebarkan bakat seni masing-masing setelah sama-sama menyertai bengkel lakonan anjuran Akademi Teater Perak.


Dicungkil bakatnya sewaktu penganjuran Drama Kuala Lumpur Festival 2018 (DFKL 2018), empunya nama penuh Muhammad Fadhulhadi Zam Azman itu beriltizam memanfaatkan ilmu yang ditimba di pentas teater demi mengukuhkan tapak seni dalam arus perdana.


Sedar bahawa persembahan di atas pentas dan berlakon di layar kaca ada bezanya, Faha tetap percaya penguasaan teknik asas seni lakon membantu dirinya menimba kemahiran baharu di lapangan berbeza.


“Saya yakin dengan maksud tersirat di sebalik peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Mudah-mudahan, berkat doa dan restu kedua-dua ibu bapa termasuk ahli keluarga lain, perjalanan seni saya ini dipermudahkan,” katanya menanam tekad. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN