Penjenayah guna cangkul pecah masuk stesen minyak di Batu 7, Sijangkang - Utusan Malaysia

Penjenayah guna cangkul pecah masuk stesen minyak di Batu 7, Sijangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Sebuah stesen minyak di Batu 7, Sijangkang di sini mengalami kerugian sebanyak RM2,100 setelah dipecah masuk dua penjenayah bersenjatakan cangkul awal pagi.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, kedua-dua suspek dipercayai berusia 20 hingga 30-an.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superitendan Kamalariffin Aman Shah berkata, kejadian disedari ketika pekerja stesen minyak berkenaan yang mahu memulakan kerja pukul 6.20 pagi dengan mendapati cermin di bahagian kaunter telah dipecahkan oleh penjenayah. 

Katanya, pemeriksaan mendapati antara barangan yang dicuri termasuklah kad tambah nilai prabayar, pelbagai jenis rokok dan wang tunai dengan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM2,100. 

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua suspek memakai helmet dan bersenjatakan batang besi dipercayai cangkul telah memecahkan cermin kaunter sebelum memasuki kedai stesen minyak tersebut.

“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan menggunakan motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam setelah selesai melakukan jenayah mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Beliau menambah, siasatan awal yang dilakukan pihaknya mendapati stesen minyak tersebut hanya beroperasi bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam setiap hari. 

Jelasnya, tiada pengawal keselamatan ditempatkan untuk menjaga stesen minyak itu selepas waktu perniagaan tamat. 

“Usaha mengesan kedua-dua suspek kini sedang giat dilakukan dengan kes disiasat mengikut Seksyen Sek 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN