Pengusaha butik maut dirempuh kereta - Utusan Malaysia

Pengusaha butik maut dirempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Seorang pengusaha butik pengantin maut manakala dua yang lain cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer 5 Jalan Sungai Petani – Kuala Ketil di persimpangan lampu Isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini semalam.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 11.20 malam itu, mangsa, Siti Khodijah Abdul Rahman, 34, yang membonceng motosikal Yamaha Nouvo LC maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman pada dada dan kepala.

Dua mangsa yang cedera ialah penunggang motosikal Yamaha Nouvo LC tersebut iaitu suami Siti Khodijah, Md. Babulhan Aziz, 41, yang merupakan warga Bangladesh dan penunggang motosikal Modenas Elit, Mohd. Fazri Mohd. Nizam, 19,.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua buah motosikal dan empat buah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat tersebut.

“Berdasarkan kenyataan saksi bebas, sebuah kereta dipercayai jenis Nissan Almera berhenti kerana lampu isyarat merah tetapi didapati bergerak ke hadapan sedikit demi sedikit.

“Nissan Almera tersebut kemudian tiba-tiba bergerak ke hadapan untuk meneruskan perjalanan mengakibatkan sebuah kereta Perodua Axia yang datang dari laluan sebelah kanan ketika lampu isyarat arah tersebut hijau berkelip-kelip hilang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, akibat kejadian itu, kereta Perodua Axia berkenaan terbabas lalu merempuh dua mangsa yang menaiki motosikal Yamaha Nouvo LC, penunggang Modenas Elit, kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dan Proton Gen 2 yang turut berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut.

“Kemalangan mengakibatkan pembonceng Yamaha Nouvo LC maut di tempat kejadian, dua penunggang motosikal cedera ringan dan tiga pemandu kereta tidak cedera,” ujarnya.

Sazalee berkata, pemandu kereta Nissan Almera bertindak melarikan diri dari tempat kejadian dan usaha untuk mengesan pemandu tersebut sedang dilakukan. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN