Pengurusan kewangan kerajaan Sarawak dapat pengiktirafan antarabangsa - Utusan Malaysia

Pengurusan kewangan kerajaan Sarawak dapat pengiktirafan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 16 Julai – Kerajaan Sarawak telah mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah dan mendapat penarafan kredit baik oleh beberapa agensi penarafan antarabangsa.

Datuk Talib Zulphilip
Datuk Talib Zulphilip

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata, agensi antarabangsa yang memberi pengiktirafan itu ialah Standard And Poor’s yang memberi penarafan A- dan Moody’s Investor Service (A3) manakala Jabatan Audit Negara telah mengeluarkan Bil Sijil Kesihatan Bersih bagi 16 tahun berturut-turut kepada pengurusan kewangan negeri ini.

Beliau berkata, sepanjang pengetahuannya, tiada negeri lain di Malaysia yang mendapat pengiktirafan sedemikian.

“Mustahil pengiktirafan tertinggi seumpama ini dapat diperoleh daripada badan-badan bebas tempatan dan antarabangsa, sekiranya penjawat awam negeri tidak komited dan kompeten dalam bidang tugas masing-masing.

“Justeru adalah tidak wajar memberi gambaran seolah-olah semua penjawat awam tidak melaksanakan tanggungjawab mereka. Kenyataan tidak bertanggungjawab dan tanpa usul periksa (ADUN Batu Lintang-PKR, See Chee How) tentunya melukai hati serta perasaan penjawat awam,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagi Penggal Ke-18 di sini, hari ini.

Talib merujuk kepada kenyataan Chee How semasa perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang Dipertua Negeri pada Jumaat lalu.

Dalam ucapannya, See How berkata, beliau kagum terhadap pejawat awam yang bekerja keras dan efisien melaksanakan kerja dengan hasil berkualiti, namun sikap pantas bekerja itu hanya berlaku apabila mereka diminta melakukan lebih banyak kerja dan projek untuk masa depan.

Mengulas lanjut, Talib berkata, memang diakui ada segelintir penjawat awam yang sedikit nakal tetapi `janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelangga’.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui Unit Integriti dan Ombudsmen Negeri sedang meneliti dan mengkaji kemungkinan melaksanakan pensijilan ISO: 37001 : 2016 Sistem Anti Pengurusan Rasuan di Sarawak.

“Perkara ini adalah selaras dengan matlamat untuk meningkatkan tadbir urus yang baik, mengurangkan ruang dan peluang pelakuan jenayah rasuah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN