KUALA LUMPUR – Penglibatan semua kaum dalam aktiviti berkaitan bahasa kebangsaan berupaya meningkatkan peranannya sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan di negara ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Cheng berkata, sekiranya semua pihak mengambil berat perkara ini, sudah pasti rakyat keseluruhannya akan dapat menilai keseriusan usaha kerajaan untuk memperkasa bahasa kebangsaan.
“Penglibatan pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza dalam Festival Bahasa dan Sastera 2018 ini juga menunjukkan bahasa kebangsaan dapat mewujudkan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian antara kaum,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.
Sementara itu, Nie Cheng berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha memastikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) setaraf dengan British Council, Geothe Institute dan Nippon Institute dalam tempoh lima tahun memerintah.
“Antara usaha yang akan dilaksanakan bagi memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan menghidupkan semula Kempen Membaca Kebangsaan,” katanya. – Bernama










