Pengiraan perbandingan cukai dimanipulasi - Utusan Malaysia

Pengiraan perbandingan cukai dimanipulasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Julai – Isu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta cukai barang dan perkhid­matan (GST) kembali hangat diperkatakan sejak pe­ngumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Isnin lalu bahawa SST yang akan dilaksanakan 1 September ini merangkumi 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan.

Dengan pengumuman itu, ba­nyak ‘pengkaji’ ekonomi alam maya yang mula menjadi ‘pakar’ percukaian dengan membentangkan perbandingan pe­ngiraan harga akhir antara kedua-dua cukai ini.

Dalam kekecohan di alam maya dengan netizen mula mempertikaikan pelaksanaan SST yang dikhuatiri akan menaikkan harga barang, terdapat sesete­ngah pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan memanipulasi perbandingan pengiraan cukai ini.

Satu perbandingan mengenai kaedah pengiraan dua cukai itu yang tular adalah yang menunjukkan harga akhir belian GST lebih mahal sehingga RM17.90 berbanding harga akhir belian SST melibatkan barangan yang mempunyai harga kos asal RM100.

Dalam pengiraan tersebut, harga belian akhir daripada SST adalah sebanyak RM128.60 manakala harga belian akhir daripada GST adalah RM146.50.

Perbandingan itu pula me­nyatakan bahawa melalui SST, kerajaan hanya mengutip cukai sebanyak RM10.60 dan melalui GST, kerajaan mengutip cukai lebih tinggi sehingga RM28.50.

Perbandingan yang tular ini jelas menunjukkan kesalahan pengiraan apabila bayaran GST oleh pengilang, pemborong dan peniaga yang boleh dituntut semula daripada kastam tidak ditolak malah dimasukkan ke dalam harga akhir belian GST dan jumlah cukai yang dikutip.

Sepatutnya di setiap peringkat tersebut, caj GST yang dikenakan boleh dituntut semula dan tidak sepatutnya dimasukkan dalam pengiraan untuk mendapat jumlah akhir seperti yang berlaku dalam perbandingan yang tular itu.

Dalam perbandingan yang tular itu, jumlah cukai yang dikutip menerusi GST dikatakan sebanyak RM28.50 walhal jumlah sebenar yang dikutip adalah sebanyak RM7.08, selepas ditolak tuntutan balik cukai terhadap kerajaan.

Justeru, perbandingan yang betul sepatutnya menjadikan harga akhir belian GST lebih murah iaitu RM125.08 berbanding SST sebanyak RM128.60, bukan lebih mahal seperti pengiraan yang tular tersebut.

Hakikatnya, pelaksanaan GST sebanyak enam peratus akan membuatkan harga belian akhir kepada pengguna lebih rendah berbanding SST yang ditetapkan pada kadar 10 peratus. Ini adalah kerana kadar kedua-dua cukai yang berbeza.

Penularan meluas perbandi­ngan pengiraan cukai yang salah ini menunjukkan bagaimana pengguna media sosial perlu mengambil sikap lebih bertanggungjawab sebelum berkongsi sesuatu maklumat terutama maklumat penting seperti ini bagi mengelakkan kekeliruan yang lebih parah.

Sebaliknya sentiasalah merujuk kepada pakar seperti akauntan, peguam korporat dan akademik untuk mendapatkan penjelasan mengenai pengiraan GST dan SST yang betul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN