KUALA LUMPUR 16 Julai – Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P. Waytha Moorthy dijangka menjadi antara lapan individu yang akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di Parlimen, esok.
Berdasarkan surat jemputan yang diterima oleh media daripada Parlimen, beliau akan mengangkat sumpah menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong.
Selain beliau, beberapa lagi nama yang akan mengangkat sumpah melalui lantikan Yang di-Pertuan Agong ialah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Nama-nama lain yang turut mendapat lantikan yang sama ialah Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, Datuk Ismail Ibrahim dan Marzuki Yahya.
Dua lagi nama ialah Datuk Husain Awang yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu dan Asmak Husin yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, tiga lagi menteri akan dilantik menjadikan keseluruhan barisan Kabinet menjadi 29 orang menteri, dengan pelantikan itu hanya boleh dibuat selepas mereka mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara.
Antara jawatan yang dikatakan masih belum diisi ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Timbalan Menteri Luar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial). – UTUSAN ONLINE










