Pengerusi Hindraf angkat sumpah Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Pengerusi Hindraf angkat sumpah Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Lima senator hari ini mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia sebagai menteri dan timbalan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil itu didahului Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), Senator P. Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial).

Waytha Moorthy kemudian menerima surat cara pelantikan dan melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Turut menyaksikan istiadat itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Empat lagi senator yang mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri didahului Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Senator Marzuki Yahya sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri dan Ketua PPBM Bahagian Ketereh, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dua lagi senator yang mengangkat sumpah ialah Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Ching Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Terdahulu, lima senator berkenaan mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN