WASHINGTON 18 Julai – Ketika syarikat Amazon melancarkan Prime Day (Hari Perdana) yang menyaksikan pelbagai produk diberikan potongan harga menarik, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jeff Bezos turut menerima impaknya.
Hal ini kerana, jumlah kekayaan Bezos meningkat menjadi AS$150 bilion (RM608 bilion), sekali gus menjadikan beliau sebagai individu terkaya dalam tempoh beberapa dekad ini.
Kenaikan harga saham Amazon turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kekayaan Bezos sehingga AS$50 bilion (RM202 bilion) tahun ini, selain memiliki pegangan saham dalam syarikat tersebut sebanyak 16 peratus.
Berdasarkan kedudukan dalam senarai dilakukan oleh Bloomberg, jumlah kekayaan yang dimiliki oleh Bezos sudah mengatasi nilai harta milik pengasas Microsoft, Bill Gates yang dianggarkan sebanyak AS$95 bilion (RM385 bilion).
Nilai kekayaan Bezos terus meningkat sejak 2014 ketika itu ia dianggar sekitar AS$32 bilion (RM129.7 bilion).
Bezos menubuhkan Amazon sejak dua dekad lalu sebagai medium menjual buku secara dalam talian dan kini beroperasi di puluhan negara di seluruh dunia dalam pelbagai sektor termasuk peralatan digital, kecerdasan buatan (AI) dan pelayaran video.
Hari Perdana yang dilancarkan dalam minggu ini selama 36 jam menyaksikan lebih sejuta pembelian berlaku di seluruh dunia.
Sementara itu, Bezos yang kini berusia 54 tahun turut memiliki syarikat eksplorasi angkasa lepas persendirian yang dikenali sebagai Blue Origin dan pernah membeli syarikat akhbar Washington Post pada 2013. – AFP










