CYBERJAYA 17 Julai – Para pengamal media kini tidak lagi perlu takut kepada kepimpinan negara dan ahli politik bagi melaporkan sebarang berita berhubung perjalanan pentadbiran kerajaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam landskap era Malaysia baharu, pengamal media berhak melaporkan segala berita mengenai gambaran sebenar berhubung apa jua isu.
“Saya berpandangan media perlu dipisahkan atau tidak terikat dengan kuasa tertentu kerana ia perlu bebas berperanan melaporkan sebarang berita.
“Jika wartawan berasa takut-takut untuk mengatakan berita berbentuk teguran, sudah tentu ahli politik dan kepimpinan hari ini tidak mengetahui apa berlaku di peringkat bawahan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Jalinan Mesra Timbalan Menteri Sumber Manusia Bersama Media Putrajaya dan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Kelab Media Putrajaya, Norliza Abd. Rahman.
Pada masa sama, Mahfuz berkata, media dan kerajaan amat memerlukan antara satu sama lain untuk melaporkan segala berita berhubung perjalanan kerajaan masa kini.
Ujarnya, sekiranya ahli politik mengatakan yang benar, sudah tentu berita dilaporkan itu betul dan tidak akan diputar oleh pengamal media.
“Dalam suasana Malaysia yang baharu ini, kami selaku ahli politik perlu berani dalam soal ini.
“Justeru itu, kita (warga kementerian) perlu sentiasa terbuka untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat agar diberita disampaikan itu benar-benar tepat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










