Pengalaman jadi sandaran - Utusan Malaysia

Pengalaman jadi sandaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Julai – Berpengalaman luas dan setia kepada parti, itulah yang boleh dirumuskan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan senarai Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, hari ini.
 Pelantikan tersebut disifatkan oleh Ahmad Zahid dalam kenya­taannya sebagai langkah pertama UMNO menuju pembaharuan agar parti terus relevan dalam pentas politik tanah air.

“Saya komited merekayasa dan memperjuangkan kepenti­ngan negara bersama dengan jajaran pimpinan baharu UMNO berlandaskan Perlembagaan Malaysia dan Piagam UMNO seperti terkandung dalam Perlembagaan UMNO sendiri,” katanya.

Sememangnya jika teliti senarai pelantikan tersebut ternyata, Ahmad Zahid sudah melakukan penelitian mendalam bagi mewujudkan barisan terbaik bagi membolehkan UMNO bangkit semula dalam persada politik tanah air.

Sudah pasti bagi mencapai tujuan itu, pemimpin-pemimpin berpengalaman menjadi sandaran utama bagi menentukan hala tuju UMNO seperti mana pelantikan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung parti yang baharu.

Pemilihan Annuar dianggap tepat memandangkan beliau dilihat antara pemimpin yang mempunyai karisma dan daya kepe­mimpinan bagi menarik sokongan rakyat khususnya orang Melayu kepada UMNO.

Ahli Parlimen Ketereh tersebut yang cukup terkenal dengan keupayaannya berpidato membuktikan keikhlasan dan kesetiaannya untuk terus menyumbangkan kepada parti biarpun tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.

Turut menarik perhatian ialah pelantikan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah sebagai Ketua Penera­ngan yang sebelum ini dipegang oleh Annuar.

Pengalaman sebagai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mampu membantu  Dr. Shamsul Anuar turun ke peringkat akar umbi bagi bertemu rakyat khususnya ahli-ahli parti bagi memberi penjelasan berhubung sesuatu isu.

Sementara jawatan Bendahari UMNO yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak diambil alih oleh bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, jawatan Setiausaha Kerja yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pula diserahkan kepada Datuk Seri Mohd. Sumali Reduan yang me­rupakan bekas Setiausaha Kerja Pemuda UMNO.

Salleh Said dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah menggantikan Tan Sri Musa Aman manakala Ab. Rauf mengetuai UMNO Melaka sebagai Pengerusi Perhubungan menggantikan Datuk Seri Ir. Idris Haron.

Pelantikan Pengerusi Perhu­bungan UMNO negeri juga menarik perhatian apabila tiga Naib Presiden UMNO yang dilihat berpengalaman dan dihormati iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid diberi tanggungjawab menerajui kepemimpinan di tiga negeri.

Mohamed Khaled dilantik se­bagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis yang sebelum ini dipegang oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Noh Omar di Selangor manakala di Terengganu, Mahdzir mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Selain Selangor, Terengganu, Perlis, Sabah dan Melaka, perubahan kepemimpinan UMNO nege­ri juga berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Johor, Kelantan dan Pahang manakala Negeri Sembilan tiada perubahan apabila Mohamad Hasan kekal memimpin negeri itu.

Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharum  mengetu­ai UMNO Kedah menggantikan bekas Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipa, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir memimpin UMNO Pulau Pinang menggantikan Datuk Seri Zainal Abidin Osman, ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad mengepalai UMNO Perak yang sebelum ini dipegang oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir manakala ADUN Benut, Datuk Ir.Hasni Mohamad  menggantikan tempat Mohamed Khaled sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor.

Turut menyaksikan peruba­han ialah kepemimpinan UMNO Kelantan apabila jawatan Pe­ngerusi Perhubungan UMNO Ne­geri yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed diserahkan kepada Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. Untuk rekod Mustapa memegang jawatan itu untuk dua tempoh masa berbeza iaitu pada 2000 hingga 20004 dan 2008 hingga hari ini manakala di Wilayah Persekutuan, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggantikan Tengku Adnan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula dilantik Pengerusi Perhubu­ngan UMNO Pahang yang selama empat penggal sejak tahun 1999 di­sandang oleh Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bagi senarai anggota Majlis Tertinggi (MT) pula, pelantikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menarik perhatian. Kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang undang-undang sudah pasti akan dapat membantu UMNO berhadapan isu-isu perundangan termasuklah yang berkait rapat dengan kepentingan orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau me­no­lak pelantikan itu dalam sa­tu kenyataan malam ini.
Sepuluh lagi ahli MT yang dilantik ialah bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd. Fauzi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Ta­lib; Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz; bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Hajiji Noor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN