MADINAH 13 Julai – Penerbangan pertama membawa 438 jemaah haji akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah esok pada pukul 5.50 pagi waktu Malaysia.
Kesemua mereka akan menaiki pesawat A380 dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz Madinah kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan.
Menurut Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah, sebaik sahaja tiba, kesemua mereka akan dibawa ke bangunan penginapan iaitu Hotel Movenpick yang terletak 100 meter dari dataran Masjid Nabawi.
Hanya satu penerbangan akan berlepas ke Madinah esok manakala yang seterusnya adalah lusa sehingga yang terakhir pada 15 Ogos ini.
“Tabung Haji sudah bersedia menerima jemaah yang akan tiba berperingkat ke Madinah dari 14 Julai hingga 2 Ogos ini,” katanya di sini.
Affandi berkata, bermula tahun ini, jemaah menikmati tempoh menunggu yang lebih singkat di lapangan terbang.
Ini berikutan pelaksanaan proses prapelepasan imigresen Arab Saudi menerusi satu terminal khusus di KLIA.
Katanya, sebaik sahaja tiba jemaah hanya perlu menjalani proses imbasan bagasi kabin dan seterusnya menaiki bas terus ke hotel.
“Mereka tidak perlu lagi risau tentang bagasi masing-masing. Kesemua bagasi akan dimasukkan ke dalam lori dari lapangan terbang dan terus dibawa ke dalam bilik hotel jemaah,” katanya.
Katanya, pasukan katering Tabung Haji Travel sudah bersedia untuk menerima jemaah dengan menyediakan makan tengah hari dan malam untuk jemaah.
Affandi memberitahu, jemaah yang menaiki penerbangan pertama hingga 20 akan memasuki Madinah selama kira-kira lapan hari sebelum memasuki Mekah.
Jemaah yang menaiki penerbangan selebihnya sehingga yang terakhir pada 14 Ogos akan terus memasuki Mekah.











