KUALA LUMPUR 24 Julai – Penduduk Kampung Melayu FRIM Kepong mahu pihak berkuasa tempatan campur tangan bagi menghenti dan membersihkan semula kawasan seluas kira-kira satu hektar di kampung itu yang dijadikan tempat pembuangan tanah bercampur sampah dan sisa industri.
Pengerusi persatuan penduduk kampung berkenaan, Datuk Md. Nor Hashim berkata, aktiviti membuang tanah di kawasan tersebut bukan sahaja menimbulkan tanda tanya bahkan menyebabkan bau busuk, masalah habuk dan kebanjiran jentera berat di kawasan kampung.
Beliau berkata, masalah itu bermula daripada kegagalan projek penyambungan jalan yang sepatutnya menghubungkan Jalan 3/1 dengan Jalan 6/1 namun kini seolah-olah menjadi tapak pembuangan tanah, sampah dan sisa industri.
“Jika projek penyambungan jalan itu gagal, penduduk mahu tahu apa motif kawasan terbabit terus ditimbun dengan tanah dan sampah.
“Kami telah merujuk isu ini kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak dua tahun lalu dan mereka telah mengambil beberapa tindakan termasuk mengeluarkan Perintah Tahan Kerja sebanyak dua kali namun masalah terus berterusan,” katanya.
Md. Nor ditemui Utusan Malaysia bersama kira-kira 100 orang penduduk Kampung Melayu FRIM Kepong yang membuat bantahan terhadap projek berkenaan. – UTUSAN ONLINE










