KUALA LUMPUR 30 Julai – Kemudahan padang bola sepak bertaraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal dinikmati warga Wilayah Persekutuan terutamanya penduduk sekitar Bandar Tun Razak dekat sini yang dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan.
Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, padang bola sepak itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya tempat duduk ‘grandstand’ yang boleh memuatkan kira-kira 700 orang serta 70 buah tempat letak kenderaan.
Beliau berkata, penambahan kemudahan rekreasi itu merupakan salah satu usaha dalam menyediakan padang gantian tapak padang bola di Jalan Jujur yang kini diambil alih untuk projek perumahan.
“Padang baharu ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat Aset Kayamas Sdn. Bhd. atas desakan penduduk kerana tidak berpuas hati apabila kemudahan yang sedia ada jauh dari kawasan perumahan mereka.
“Kemudahan itu akan dibuka secara percuma namun pengurusannya akan diputuskan kemudian sama ada diserahkan kepada persatuan penduduk atau tidak. Jadi, selepas itu terpulang kepada mereka jika ingin mengenakan bayaran,” katanya baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah padang bola sepak baharu Bandar Tun Razak yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.
Tambah Khalid,sumber kewangan diperlukan bagi menyelenggara kemudahan tersebut dan orang awam dinasihatkan agar menjaga padang bola ini dengan baik.
“Saya berharap padang bola sepak ini akan memberikan kesan positif kepada rakyat terutamanya penduduk setempat agar terus bergiat aktif dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
“Semoga hasrat kerajaan untuk memberikan perkhidmatan dan keselesaan kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.










