Pendapatan penerbit bon akan terjejas - Utusan Malaysia

Pendapatan penerbit bon akan terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Julai – Pendapatan penerbit bon korporat dijangka akan terjejas akibat faktor ketidakpastian oleh kerajaan Pakatan Harapan terhadap beberapa isu yang terkandung dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu.

Cadangan kerajaan seperti menghapuskan tol, pembatalan projek mega infrastruktur dan ditambah dengan ketegangan perang dagangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China memberi kesan kepada bon korporat yang dinilai oleh Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC).

Menurut MARC, bagaimanapun, pasaran utama bagi bon korporat dijangka diterbitkan antara RM90 bilion dan RM100 bilion bagi sepanjang tahun ini didorong oleh terbitan luar jangkaan bon korporat yang lebih agresif pada separuh pertama 2018.

Katanya, bon korporat ringgit yang diterbitkan pada separuh pertama 2018 berjumlah RM55 bilion, hampir menyamai jumlah pada tempoh sama 2017, iaitu tertinggi sejak separuh pertama 2012.

“Kami juga menyedari terbitan daripada segmen jaminan kerajaan (GG) menurun baru-baru ini dan trend ini dijangka berterusan sehingga separuh kedua 2018 berikutan semakan semula projek mega oleh kerajaan baharu.

“Dengan mengambil kira keadaan ini, kami tidak menjangkakan sebarang impak ke atas aktiviti terbitan bon korporat memandangkan masih terdapat beberapa terbitan bon korporat berskala besar dalam peranca­ngan untuk sepanjang tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Setakat ini, kerajaan telah membatalkan projek Laluan Tiga MRT (MRT3) manakala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Laluan Rel Pantai Timur ditangguhkan.

Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) pula diteruskan dengan kos sebanyak RM16.63 bilion, 47 peratus lebih rendah berbanding kos sebelum itu.

MARC memberitahu, terbitan bon korporat berskala besar itu (yang bernilai lebih RM1 bilion) termasuklah daripada GENM Capital Bhd., FGV Resources Sdn. Bhd., Yong Tai Bhd., United Overseas Bank (Malaysia) Bhd., Country Heights Holdings Bhd., Hong Leong Financial Group Bhd., OSK I CM Sdn. Bhd. dan Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd.

“Bagaimanapun, kami melihat beberapa cabaran akan datang melibatkan institusi kewangan dan korporat bagi separuh kedua tahun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN