Pencarian MH370 diputuskan tiada petunjuk baharu - Utusan Malaysia

Pencarian MH370 diputuskan tiada petunjuk baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Julai – Laporan akhir berhubung pencarian dan siasatan kehilangan pesawat MH370 yang dibentangkan hari ini tidak menyatakan sebarang petunjuk baharu dan sekali gus mengecewakan ahli keluarga mangsa yang terbabit.

Ahli keluarga penumpang pesawat malang yang hilang pada 8 Mac 2014 melahirkan rasa kecewa kerana tiada perkembangan terbaharu dalam misi pencarian pesawat itu di Lautan Hindi.

Sesi taklimat tertutup mengenai MH370 di Putrajaya pada 30 Julai 2018
SARAH NOR ibu kepada penumpang pesawat MH370, Norliakmar Hamid tidak dapat menahan sebak selepas pembentangan laporan siasatan MH370 dibentangkan dalam satu sesi taklimat tertutup di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini. – AFP

Menerusi satu laporan yang diterima oleh ahli keluarga hari ini dalam sesi taklimat tertutup di Kementerian Pengangkutan hari ini, hanya kesilapan tidak mematuhi protokol dan garis panduan sahaja yang dimaklumkan.

Seorang ahli keluarga mangsa, Grace Nathan yang kehilangan ibunya, memberitahu, laporan diberikan tidak berdasarkan kepada penyiasatan tetapi hanya berdasarkan maklumat yang disalurkan kepada mereka.

“Laporan tersebut hanya menerangkan tentang penyiasatan keselamatan terhadap pesawat berkenaan, bukannya memberitahu punca insiden dan siapa yang bersalah,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita Reuters.

Sesi taklimat tertutup mengenai MH370 di Putrajaya pada 30 Julai 2018
AHLI keluarga penumpang pesawat MH370, Intan Maizura Othman ditemubual wartawan selepas sesi taklimat laporan mengenai penyiasatan terhadap kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines Berhad (MAB) itu di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini. – AFP

Intan Maizura Othman yang kehilangan suaminya pula turut menzahirkan kekecewaan terhadap laporan yang diterimanya pagi tadi.

“Memang tiada maklumat terbaharu, malah pegawai dari Kementerian Pengangkutan juga tidak boleh menjawab segala pertanyaan yang diajukan. Seolah-olah menunjukkan bukan mereka yang membuat laporan berkenaan,” katanya ketika ditemubual AFP.

Sesi taklimat tertutup mengenai MH370 di Putrajaya pada 30 Julai 2018
SEORANG ahli keluarga penumpang pesawat MH370 membaca laporan mengenai pencarian dan penyiasatannya yang diserahkan kepada mereka pagi tadi dalam satu sesi taklimat tertutup di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini. – REUTERS

Dalam sesi taklimat tertutup di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, Ketua Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia, Datuk Kok Soo Chon mengesahkan, pesawat dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu berpatah balik bukan secara autopilot.

“Tiada masalah sistem mekanikal ketika pesawat berkenaan dikesan berpatah balik sebelum hilang dari radar dan ia dilakukan secara manual,” katanya.

Tambah beliau lagi, pusat kawalan trafik udara (ATC) di Ho Chi Minh turut membuat kesilapan apabila tidak melaporkan kepada pihak berkuasa China selepas gagal menghubungi pesawat berkenaan.

KOK SOO CHON
KOK SOO CHON

Kesilapan tersebut menurut beliau telah melambatkan proses pencarian pesawat milik Malaysia Airlines Berhad (MAB) itu, justeru sehingga kini pihaknya masih tidak menemui punca kehilangan pesawat berkenaan.

“Kita tidak dapat mengesan punca pesawat berkenaan mengubah haluan dan sehingga kini tiada alasan munasabah boleh diberikan terhadap kehilangannya,” jelasnya.

Sehingga kini tiada sebarang tanda penemuan pesawat yang membawa 229 penumpang itu selepas operasi pencarian seluas 120,000 kilometer persegi dilakukan di Lautan Hindi.

Namun, hanya tiga sahaja serpihan disahkan milik pesawat MH370 ditemui dekat persisiran pantai Lautan Hindi termasuk serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion berhampiran Madagascar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN