KUALA LUMPUR 16 Julai – Semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu mengemaskini maklumat pendapatan mereka selewat-lewatnya 25 Julai ini sekiranya ingin memohon penangguhan bayaran balik pinjaman.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan menjelaskan, peminjam boleh mengemaskini maklumat peribadi serta pendapatan bulanan di laman sesawang www.ptptn.gov.my bermula hari ini dan sekiranya layak, mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan bakal mendapat penangguhan bayaran.
“Kami memerlukan maklumat tersebut untuk dikumpulkan sebagai data dan akan menjalankan kajian mengenai peminjam yang benar-benar layak mendapatkan penangguhan.
“Namun, tarikh penangguhan itu dikuatkuasakan masih dalam proses perbincangan dan akan diumumkan kelak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.
Jelas Wan Saiful, mana-mana peminjam yang berkelayakan mendapatkan penangguhan, namun tidak mengemaskini data dalam masa yang ditetapkan dianggap tidak berminat untuk mendapatkan penangguhan.
“Walaupun menepati ciri-ciri yang layak untuk mendapatkan penangguhan iaitu bergaji di bawah RM4,000 sebulan, peminjam tetap perlu meneruskan bayaran seperti biasa sehingga menerima surat maklumat penangguhan.
“Ingat, mereka perlu mengemaskini data kerana kita tidak memiliki hubungan bersistem dengan agensi atau perbadanan yang lain bagi membolehkan PTPTN menggunakan maklumat sedia ada daripada mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Saiful menafikan pelantikannya sebagai Pengerusi PTPTN telah melanggar manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“PTPTN merupakan badan berkanun sedangkan dalam manifesto itu lantikan politik hanya tidak dibenarkan untuk syarikat milik kerajaan (GLC).










