KUALA LUMPUR 30 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO menyambut baik dan menjunjung kasih kepada raja-raja Melayu di atas perkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, titah perkenan penubuhan jawatankuasa bertepatan dengan prerogatif raja-raja Melayu selaku ketua agama Islam sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Pergerakan Pemuda UMNO menzahirkan ucapan tahniah dan berkeyakinan tinggi kepada barisan ahli-ahli jawatankuasa yang dilantik berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka seiring dengan mandat yang dititahkan oleh raja-raja Melayu.
“Kami juga berpendapat penubuhan jawatankuasa ini amat bertepatan dengan senario semasa yang banyak mencetuskan keresahan dan kebimbangan rakyat khususnya yang menyentuh pelbagai isu-isu melibatkan kepentingan agama dan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan hari ini berkata, raja-raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan yang dianggotai lima orang ahli termasuk tokoh agama dan akademik bagi menambah baik institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan. – UTUSAN ONLINE










