Pemuda UMNO desak tangguh surcaj, pemberhentian rebat - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO desak tangguh surcaj, pemberhentian rebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan supaya menangguhkan pelepasan surcaj dan pemberhentian rebat pada kadar tarif elektrik bagi mengelakkan kenaikan kos berganda kepada rakyat.

Naib Ke­tuanya, Shahril Hamdan berkata, pengumuman menge­nai pelara­san Kos Pe­le­pasan Tidak Seimbang (ICPT) baru-baru ini akan me­nyaksikan pengguna bukan domestik (bukan isi rumah, iaitu lazimnya komersial) akan dikenakan surcaj sebanyak RM1.35 sen bagi setiap kilowat per jam (kWj).

“Lebih daripada itu, semua penggunaan (tanpa mengira kediaman atau komersial) yang melebihi 300kWj sebulan tidak lagi akan menerima rebat yang diberi Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Semua ini secara tidak langsung akan menyebabkan kenaikan kadar tarif efektif elektrik dan sekali gus ini akan menambah beban kewangan kepada rakyat selaku pengguna utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahril berkata, rebat ICPT telah dinikmati oleh semua segmen pengguna untuk tempoh lebih tiga tahun sebelum ini semenjak pelarasan ICPT diperkenalkan pada 2015.

“Namun, keraja­an Pakatan Harapan yang baru berusia kurang dua bulan telah mengambil tindakan bukan sahaja menamatkan pemberian rebat malah telah mengenakan pula surcaj menerusi pela­rasan ini.

“Ini memberikan kesan kepada 2.5 juta atau lebih kurang 36 peratus pengguna domestik (isi rumah/rakyat biasa) yang menggunakan elektrik melebihi 300 kWj sebulan.

“Mereka tidak lagi akan menerima rebat dan kini terpaksa membayar tarif elektrik pada kadar asas sepenuhnya. Dalam bahasa mudah, bil elektrik naik,” katanya.

Menurut Shahril, pemberhentian rebat diganti dengan impak surcaj ke atas pengguna bukan domestik seperti kilang, kedai dan premis perniagaan bakal meningkatkan kos operasi dan pengeluaran yang menyebabkan harga jualan serta perkhidmatan meningkat.

Katanya, baru-baru ini GAS Malaysia juga telah mengumumkan kenaikan tarif asas gas asli sebanyak 77 sen bagi sektor bukan tenaga yang akan memberi kesan kepada semua segmen pengguna tidak kira kediaman atau komersial.

“Kesan daripada kenaikan berganda ini akhirnya akan menyebabkan kos sara hidup rakyat kian bertambah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN