KUALA LUMPUR 30 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran supaya meletak jawatan berikutan kenyataan yang mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan sensitif dikeluarkan seorang menteri kerana diyakini boleh mengganggu-gugat keharmonian kaum di negara ini.
“Pemuda UMNO mendesak agar beliau meletak jawatan dan disiasat kerana kita tidak mahu keharmonian negara dihancurkan oleh beberapa individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
“Kita juga tidak mahu seorang pemimpin mencetuskan ketegangan kaum dengan menggunakan perkataan sensitif,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira 50 ahli Pemuda UMNO hadir bagi menyatakan bantahan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat sebelum ini.
Laporan tersebut turut dibuat secara serentak oleh Pemuda UMNO di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, walaupun Kula Segaran memohon maaf, namun bagi pihaknya, ia tidak mencukupi.
Katanya, sekiranya beliau tidak mahu letak jawatan, Pemuda UMNO menggesa Perdana Menteri untuk memecatnya kerana isu sedemikian boleh mencetuskan ketidakharmonian kaum.
Pihaknya juga mahu pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci terhadap Kula Segaran mengikut Akta Hasutan 1998 dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita menentang sesiapa sahaja membuat atau mencetuskan isu perkauman tanpa mengira kaum,” katanya.
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu dalam ucapan dalam sebuah majlis di Negeri Sembilan mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu.
Beliau mendakwa, semua bukti mengenai kedatangan agama Hindu terdapat di Lembah Bujang, Kedah dan banyak kuil ditemui di sana.










